Nahas babit lori imigresen: Saksi sedia tampil bantu siasatan polis

19 Aug 2026 • 11:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas babit lori imigresen: Saksi sedia tampil bantu siasatan polis
Seorang saksi yang berada di lokasi kemalangan membabitkan lori JIM di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi Rabu, bersedia tampil memberi keterangan kepada polis.

SHAH ALAM- Seorang saksi yang berada di lokasi kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi Rabu, bersedia tampil memberi keterangan kepada polis.

Saksi berkenaan, Faiz Hussamuddin berkata, dia berada di lokasi ketika kejadian yang mengorbankan tiga sekeluarga dan seorang lagi mangsa cedera itu berlaku.

“Semasa kejadian, saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Bukit Bintang dengan menunggang motosikal. Saya berada di lampu isyarat berkenaan dan lori JIM berada di arah bertentangan.

“Lori JIM ketika itu memang mengaktifkan siren dan kenderaan di laluannya memberikan laluan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Faiz berkata, dia turut melihat kejadian berkenaan sebelum membantu mangsa selepas kemalangan berlaku.

"Rasa trauma juga sebab nampak kejadian itu berlaku depan mata, melihat keadaan mangsa yang sudah lemah.

“Justeru, saya bersedia. Kalau polis nak ambil statement saya pun, saya tidak ada masalah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen

Anwar arah JIM siasat segera kemalangan lori imigresen

Terdahulu, kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika lori Isuzu Black Maria tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, manakala lampu beacon dan siren diaktifkan.

Ujarnya, pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau sebelum dipercayai tidak sempat mengelak, menyebabkan berlaku perlanggaran di tengah persimpangan.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah seorang lelaki berusia 53 tahun yang merupakan bapa, selain dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.

Polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan saksi bebas serta membawa kenderaan terlibat untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved