Nahas helikopter: Kelulusan penerbangan bukan kuasa KKM

9 Sep 2026 • 4:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Nahas helikopter: Kelulusan penerbangan bukan kuasa KKM

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai kuasa menentukan kelulusan penerbangan helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Ulu Baram, Marudi, petang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata sebarang kebenaran penerbangan tertakluk kepada agensi berkaitan selepas prosedur keselamatan diteliti.

“Sebarang aspek penerbangan sama ada helikopter ataupun kapal terbang dan sebagainya, prosedur tertentu daripada aspek keselamatan perlu dipatuhi dan barulah mereka diberikan kebenaran untuk terbang.

“Sama ada kebenaran untuk terbang atau tidak, itu tertakluk kepada kelulusan daripada agensi berkenaan, bukan di pihak KKM,” katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status kebenaran penerbangan helikopter terbabit susulan pihak berkuasa memaklumkan operasi penerbangan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian semalam terjejas akibat jerebu.

Menurut Dr Mahathar, penerbangan helikopter FDS itu telah dilaksanakan sebelum nahas berlaku, manakala sebarang maklumat lanjut berhubung aspek kebenaran terbang perlu dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Dalam kes semalam, kebenaran dan penerbangan itu sudah berlaku. Tetapi untuk maklumat lanjut berkaitan pertanyaan tadi, saya mohon pihak berkuasa yang berkaitan menjawab soalan berkenaan,” katanya.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Kesemua lima individu termasuk juruterbang disahkan maut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved