
KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Dr. Ainul Baroah Kamaruddin maut selepas helikopter yang dinaikinya bersama empat individu dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, Sarawak petang tadi.
Adik ipar kepada Dr. Ainul Baroah iaitu Nureez Mohd. Pauzi, 35, berkata, khabar duka itu dimaklumkan oleh KKM kepada keluarganya kira-kira pukul 4 petang tadi.
“Abang saya, Muhammad Faiz Abdul Malik yang merupakan suami kepada Dr. Ainul memaklumkan perkara tersebut selepas menerima panggilan dari pihak KKM.
“Abang merupakan seorang guru yang berkhidmat di Sarawak,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Nureez memberitahu, dia dan keluarga akan ke Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum berlepas ke Sarawak pada pagi esok.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) KKM yang dilaporkan terhempas petang tadi Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi disahkan membawa empat petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Empat petugas itu membabitkan seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua orang jururawat.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan maklumat awal diterima berhubung penerbangan itu yang berlepas dari Miri dan dikendalikan seorang juruterbang. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas helikopter KKM: Dr. Ainul disahkan meninggal dunia appeared first on Kosmo Online.






