Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa

8 Sep 2026 • 8:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa
Kenyataan media KKM berhubung insiden helikopter FDS terhempas pada Selasa.

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam proses untuk menghubungi waris dan ahli keluarga mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang STOLport di Marudi, Sarawak bagi memberikan sokongan sewajarnya.

Memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memohon kerjasama orang awam dan pihak media untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih demi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.

Beliau berkata, sebarang perkembangan lanjut bakal dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.

Jelasnya, kementerian sedang memantau rapi situasi selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan SAR dan agensi penerbangan berkaitan untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini dari lokasi kejadian.

"Saya amat berdukacita apabila menerima laporan awal berhubung insiden helikopter FDS KKM yang dilaporkan terhempas petang ini.

"Berdasarkan maklumat awal, penerbangan dari Miri dikendalikan oleh seorang juruterbang membawa empat petugas kesihatan KKM terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan dua jururawat yang sedang dalam tugas rasmi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Dzulkefly menambah, setakat ini status kesemua kru dan penumpang serta punca kejadian belum dapat dipastikan.

Beliau turut memaklumkan, pasukan SAR bersama pihak perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah berada di lokasi kejadian berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang.

"Sama-sama kita doakan agar segala urusan mencari dan menyelamat dipermudahkan," ujarnya.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu menjalankan penerbangan FDS ketika kejadian.

CAAM menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (Flight Information Service) pada jam 3.58 petang.

Jelasnya lagi, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Difahamkan Long Lellang STOLport terletak di kawasan pedalaman Sarawak dan menjadi antara laluan yang menghubungkan komuniti terpencil di kawasan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved