
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan menghentikan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) susulan insiden yang berlaku dan perkhidmatan berkenaan akan diteruskan seperti biasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tiada keperluan untuk menghentikan operasi FDS yang amat penting bagi memastikan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.
“Kita akan teruskan. Tidak ada keperluan menghentikan perkhidmatan itu dan ia akan diteruskan.
“Antara perkara penting dalam fungsi FDS ini adalah memastikan perkhidmatan kesihatan terus diberikan kepada masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata aspek keselamatan membabitkan penggunaan helikopter adalah di bawah bidang kuasa agensi berkaitan.
Menurutnya, KKM akan mengambil kira maklumat serta input daripada pihak berkuasa berhubung tahap keselamatan penggunaan helikopter sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Daripada aspek keselamatan, termasuk penggunaan helikopter dan sebagainya, ia di bawah bidang kuasa agensi-agensi berkaitan.
“KKM akan mengambil maklum dan mendapatkan input daripada pihak berkuasa berkaitan keselamatan helikopter itu sebelum kita membuat keputusan sama ada penggunaannya untuk perkhidmatan ini akan diteruskan,” katanya.
Dzulkefly berkata, kepentingan FDS tidak boleh dinafikan memandangkan perkhidmatan itu menjadi antara saluran penting untuk membantu penduduk di kawasan pedalaman mendapatkan akses kesihatan.
Beliau berkata, KKM akan terus memantau perkembangan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan penilaian keselamatan daripada pihak berkuasa berkaitan.- KOSMO! ONLINE
The post Nahas helikopter KKM: Khidmat doktor udara tetap diteruskan appeared first on Kosmo Online.






