
PETALING JAYA – Dua daripada lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Sarawak pada Selasa lalu layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, waris juruterbang helikopter Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dianggarkan sebanyak RM5,355.
“Balunya, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, layak menerima faedah berkenaan secara bulanan untuk seumur hidup dengan syernya berjumlah RM3,213.00.
“Dua anaknya yang berumur 1 dan 5 tahun pula layak menerima faedah sama berjumlah RM2,142.00 sebulan sehingga mereka berumur 21 tahun atau sehingga tamat ijazah pertama,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, waris Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, iaitu suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, layak menerima FPM sebanyak RM3,000 selain Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,574.10 sebulan untuk seumur hidup.
Ramanan berkata, Perkeso akan segera menyalurkan bantuan kepada waris mangsa bagi memastikan kelangsungan waris mangsa yang hidup terus terjamin.
“Bagi tiga lagi mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian berkenaan, mereka disahkan tidak mempunyai rekod caruman dengan Perkeso.
“Walaubagaimanapun, Perkeso akan merujuk kes tersebut ke platform Social Synergy sekiranya ada bantuan lain yang mereka boleh terima daripada agensi lain,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara dinaiki mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak pada petang 8 September lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas helikopter KKM: Waris juruterbang, doktor layak terima faedah PERKESO appeared first on Kosmo Online.






