
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamaruddin dan mangsa lain yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, petang tadi.
Mohd Nassuruddin berkata, Allahyarhamah yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu meninggal dunia ketika sedang menjalankan amanah menerusi Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) untuk masyarakat pedalaman Sarawak.
“Perginya ketika sedang berkhidmat, membawa rawatan dan harapan kepada mereka yang memerlukan.
“Kelantan kehilangan seorang anak yang mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.
Menurutnya, beliau mendoakan agar Allah SWT merahmati Allahyarhamah, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh serta menempatkannya bersama golongan yang soleh.
“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa terbabit,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan juruterbang dan empat penumpang helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak petang tadi disahkan meninggal dunia.
Baca juga:Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan maut dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu.


![[VIDEO] Nahas helikopter KKM: Juruterbang baik, layan kerenah penumpang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/helikopter-fds-1024x581.jpeg)



