Nahas Jalan Kuching: Asiah tidak terpelanting atau tercampak – Bapa

14 Oct 2026 • 3:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nahas Jalan Kuching: Asiah tidak terpelanting atau tercampak – Bapa

PETALING JAYA – Bapa kepada kanak-kanak perempuan Asiah Ahmad Syahir, 5, yang maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, di sini, Sabtu lalu, mengesahkan bahawa anaknya tidak terpelanting atau tercampak keluar dari kereta seperti dakwaan segelintir pihak.

Ahmad Syahir Mohammad Nor Izam menerusi hantaran di Threads menggunakan akaun @aqif.afifi turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menghulurkan ucapan takziah, kata-kata semangat serta membantu menyebarkan rakaman kejadian berkenaan.

Menurutnya, perkongsian rakaman itu amat dihargai bagi membantu memberikan gambaran mengenai kejadian yang menimpa anaknya.

“Assalammualaikum dan Salam Sejahtera. Kami Abi dan Umi Asiah ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih pada semua yang memberikan salam takziah dan kata-kata semangat untuk keluarga kami.

“Di sini saya juga ingin kongsikan sedikit maklumat bagi mengelakkan salah faham. Asiah tidak terpelanting atau tercampak keluar dari kereta. Kami mohon doa dan sokongan semua,” katanya menerusi hantaran Threads hari ini.

Dalam hantaran sama, beliau turut menjelaskan bahawa pihak keluarga tidak pernah menganjurkan sebarang kutipan dana awam atau crowdfunding susulan tragedi tersebut.

Jelasnya, penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap tragedi yang menimpa keluarganya.

“Walau bagaimanapun, memang ada kod QR atas nama Ahmad Shahir Bin Ahmad Norizan (Abi Asiah) yang telah dikongsikan oleh pihak Masjid Jamek Kampung Sungai Pencala, di mana saya bertugas sebagai bilal masjid,” katanya.

Beliau turut berkongsi maklumat mengenai penunggang motosikal yang terbabit dalam nahas berkenaan, dengan memaklumkan individu itu masih hidup dan sedang menerima rawatan.

Dalam perkembangan berkaitan, nahas kira-kira pukul 3.44 petang itu dipercayai bermula apabila sebuah kereta BYD Seal dipandu individu berusia 24 tahun, melanggar bahagian belakang Perodua Bezza dinaiki Ahmad Shahir dan Asiah bergerak dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard serta Perodua Myvi.

Mangsa maut, Asiah dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis sedang melengkapkan siasatan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching di sini Sabtu lalu, yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilapor berkata, pemandu BYD Seal masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta. – KOSMO! ONLINE

The post Nahas Jalan Kuching: Asiah tidak terpelanting atau tercampak – Bapa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved