Najib mohon tangguh penjara 15 tahun kes 1MDB

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 10:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Najib mohon tangguh penjara 15 tahun kes 1MDB
Najib

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini, supaya hukuman penjara 15 tahun dan denda sebanyak RM11.38 bilion berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ditangguhkan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu membuat permohonan berkenaan terhadap sabitan bersalah dan hukuman atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Hukuman penjara itu sepatutnya bermula selepas beliau menamatkan hukuman berhubung kes SRC International Sdn Bhd kelak.

Semasa pengurusan kes pada Jumaat, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihak pembelaan sudah memfailkan sijil untuk mempercepatkan prosiding pendengaran tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, pihak pendakwaan berhasrat memberi maklum balas terhadap permohonan berkenaan.

Selepas mendengar perkara terbabit, Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin kemudiannya menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan tersebut.

“Sila failkan hujahan bertulis pada bila-bila masa sebelum tarikh berkenaan,” katanya.

Bekas Presiden UMNO itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan jumlah sama antara 2011 hingga 2014.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram pula antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Najib dihukum penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Disember 2025, atas semua kes terbabit.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan memerintahkan Najib membayar denda sebanyak RM11.38 bilion.

Sekiranya gagal membayar jumlah denda berkenaan, dia boleh dipenjara selama 10 tahun bagi setiap kes rasuah terbabit.

Beliau berkata, bagi setiap kes menggunakan kedudukan untuk rasuah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun sementara lima tahun bagi setiap kes AMLA.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan kedua-dua hukuman pemenjaraan berjalan serentak, selepas Najib selesai menjalani hukuman di Penjara Kajang, bagi kes SRC.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved