Najib zahir kesedihan nahas helikopter petugas kesihatan di Marudi

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 12:43 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Nahas helikopter Flying Doctor yang mengorbankan lima individu di Long Lellang, Marudi

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan rasa sedih susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) yang mengorbankan lima nyawa di Long Lellang, Marudi, Sarawak, petang semalam.

Menerusi kenyataan di media sosial, Najib turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan mendoakan mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan berkenaan.

“Sangat sedih bila baca mengenai nahas helikopter petugas kesihatan di Marudi semalam. Semoga ahli-ahli keluarga tabah menghadapi dugaan ini. Takziah diucapkan,” katanya.

Dalam nahas kira-kira jam 3.30 petang itu, helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF yang membawa lima individu terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOLport Long Lellang.

Lima mangsa terdiri daripada seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat. Kesemua mereka disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu.

Baca juga:

Najib berkata, beliau pernah berkunjung ke Long Jegan, Marudi dan beberapa kawasan lain di sekitar daerah itu pada 2016, selain berkesempatan meluangkan masa bersama petugas perubatan yang menjalankan tugas di kawasan pedalaman.

Menurutnya, tugas petugas kesihatan di kawasan berkenaan sememangnya mencabar berikutan kekangan akses, infrastruktur dan keadaan muka bumi yang berbeza berbanding kawasan bandar.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan perkhidmatan serta bantuan dapat disalurkan kepada semua rakyat termasuk mereka yang menetap di kawasan pedalaman.

Berkongsi pengalaman

Najib turut berkongsi pengalaman ketika bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada peringkat awal dilaksanakan, apabila pegawai kerajaan bersama anggota keselamatan perlu menggunakan bot untuk menghantar bantuan kepada penduduk di kawasan tertentu.

Katanya, petugas kesihatan pula ditugaskan mengikut jadual bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman, termasuk membawa bekalan ubat-ubatan.

“Sumbangan dan pengorbanan mereka mulia dan sangat dihargai,” katanya.

Beliau berkata, keadaan sama turut pernah dihadapi petugas kesihatan di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia seperti Hulu Tembeling di Pahang dan Hulu Kelantan, walaupun akses kini lebih mudah susulan pembangunan jaringan jalan raya.

Kesukaran akses

Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak masih berdepan kesukaran akses disebabkan pelbagai faktor, khususnya berkaitan infrastruktur.

Najib berkata, atas sebab itu juga pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum 2018 memberi tumpuan kepada dua perkara utama iaitu NKRA Infrastruktur Asas Luar Bandar dan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau pada masa sama mendoakan agar segala urusan berkaitan petugas yang terlibat dalam perkhidmatan kesihatan di pedalaman dipermudahkan serta keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.

The post Najib zahir kesedihan nahas helikopter petugas kesihatan di Marudi appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved