
PORT DICKSON – Seorang pesara polis yang cedera diserang seekor buaya mengesahkan reptilia seberat 500 kilogram (kg) dikenali sebagai ‘Kuntum’ yang berjaya memasuki perangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) awal pagi semalam bukanlah haiwan yang menyerangnya pada Mei lalu.
Jaafa Hasan, 62, berkata, berdasarkan pengalamannya yang kerap menjala di kawasan su-ngai Kampung Tanjung Agas, terdapat sekurang-kurangnya dua ekor buaya gergasi yang menjadi penghuni di kawasan berkenaan.
“Saya selalu turun menjala dan tahu ada dua ekor buaya di kawasan ini. Apabila melihat buaya yang ditangkap, ia bukan haiwan yang menyerang saya,” katanya.
“Buaya yang biasa saya nampak dan menyerang (saya) ekornya berwarna seperti emas atau tembaga, manakala yang ditangkap ini ekornya hitam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, Tanjung Agas, di sini, semalam.
Kuntum adalah nama panggilan buaya yang diberikan komuniti tempatan termasuk nelayan.
Bercerita lanjut Jaafa berkata, keadaan fizikal reptilia itu turut menimbulkan persoalan kerana tidak mempunyai gigi, sedangkan buaya yang menyerangnya telah meninggalkan beberapa kesan gigitan pada tubuhnya.
“Luka saya ada kesan gigit. Di kaki ini sahaja ada lima kesan luka dan satu daripadanya masih belum pulih. Lagi pun buaya yang ditangkap ini tidak ada gigi, jadi rasa bukan dia yang menyerang saya,” ujarnya.
Seterusnya Jaafa berkata, dia dimaklumkan mengenai kejayaan menangkap buaya itu kira-kira pukul 1.30 pagi sebelum datang melihatnya sekitar pukul 9 pagi semalam.
“Saya masih belum turun menjala kerana kaki yang cedera belum pulih lagi. Perasaan masih berbelah bahagi kerana baru seekor yang berjaya ditangkap. Saya dimaklumkan Perhilitan akan memasang semula perangkap untuk menangkap seekor lagi,” katanya.

Kosmo! pada 26 Mei lalu melaporkan seorang lelaki terpaksa bertarung nyawa selepas diseret seekor buaya tembaga dipercayai bersaiz besar ke dalam Sungai Linggi ketika menjala udang seorang diri di Kampung Tanjung Agas, di sini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, buaya tersebut menerkam kaki kiri mangsa sebelum menyeretnya ke dalam sungai, namun berjaya menyelamatkan diri selepas berpaut pada sebuah batu besar.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Bot Kampung Tanjung Agas, Hamidun Ramli, 51, berkata, penangkapan buaya itu memberi kelegaan kepada komuniti setempat yang sebelum ini bimbang untuk menjalankan aktiviti di sungai.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Perhilitan kerana buaya yang selama ini menghantui kami berjaya ditangkap.
“Selepas kes serangan itu, kami masih belum berani mahu basuh perahu dan tidak berani memasang pancar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya menerima maklumat orang ramai yang melihat pintu sangkar buaya jatuh kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.
Katanya, perangkap buaya itu dipasang Rabu lalu.
“Buaya yang masuk perangkap adalah betina berusia 70 tahun dengan anggaran berat 500 kilogram,” ujarnya.
The post ‘Nampak macam sama tapi bukan dia’ appeared first on Kosmo Digital.






