
KOTA TINGGI – Kombinasi arus songsang yang dahsyat, hempasan ombak tanpa amaran dan tebing tersembunyi di dasar laut menjadi punca utama tragedi lemas kerap berulang di lokasi perkelahan seperti Pantai Tanjung Balau, Tanjung Lompat dan Desaru.
Pengerusi Koperasi Sinar Tanjung Balau merangkap Ketua Penyelamat Pantai Tanjung Balau, Salahuden Abu Bakar berkata, situasi menjadi lebih kritikal apabila majoriti pengunjung tidak mempunyai kesedaran asas mengenai dinamik pergerakan arus air laut di kawasan berkenaan.
Penyelam berpengalaman itu mendedahkan profil perairan Kota Tinggi amat berbeza berbanding pantai peranginan biasa di tempat lain.
“Paling bahaya arus kuat di celah-celah struktur batuan pesisir pantai. Apabila fenomena air pasang atau surut berlaku, daya tarikan arus di situ akan menyedut mangsa terus ke laut lepas.
“Ia mampu membawa mangsa sejauh lima hingga enam meter ke tengah laut dalam sekelip mata tanpa mengira sama ada individu itu pandai berenang atau tidak,” katanya.
Menurut Salahuden, selain pergerakan arus, fenomena hakisan pasir akibat gelombang ombak turut membentuk lekukan atau lubang dalam secara mengejut di dasar laut yang menukar kedalaman paras air secara drastik.
Tambahnya, pengunjung yang tidak sedar termasuk ke arah lekuk akan tiba-tiba terjerumus, hilang pijakan dan cemas serta-merta tercetus hingga dia panik, tertelan air, dan hanyut ditarik arus.
“Fenomena pasang surut air laut di Tanjung Balau sentiasa mengubah kedalaman dasar pasir lalu menghasilkan lekuk-lekuk. Di Tanjung Lompat pula, pengunjung berdepan kepada risiko arus tarik yang sangat kuat di selang seli kawasan batuan pantai.
“Di pantai Desaru, walaupun permukaan pantainya kelihatan bebas daripada batu-batu tajam, struktur dasar lautnya berbentuk tebing berhampiran pesisir. Cukup melangkah dua hingga tiga meter dan kita akan tiba-tiba menjunam,” katanya.
Ujar Salahuden, angin selatan yang berlarutan selama berbulan-bulan menyebabkan gelombang ombak kuat terus ke pesisir pantai.
The post Sekali ‘disedut’ arus songsang, terus lemas appeared first on Kosmo Online.






