Rumah Pusaka Lebih 100 Tahun Terbakar, Lelaki Warga Emas Maut

11 Sep 2026 • 1:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Rumah Pusaka Lebih 100 Tahun Terbakar, Lelaki Warga Emas Maut

KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 66 tahun maut selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan rumah pusaka keluarganya berusia lebih 100 tahun di Kampung Gok Kapur, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, malam tadi.

Mangsa, Kong Choo Hock, yang masih bujang dan tinggal bersendirian, ditemukan dalam keadaan mencangkung di dalam bilik air di tingkat bawah rumah berkenaan sambil memegang sebuah bekas air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami kecederaan melecur yang serius.

“Dia dipercayai cuba menyelamatkan diri, namun gagal keluar kerana pintu di bahagian belakang rumah masih berkunci.

“Selepas itu, dia pergi ke bilik air yang mungkin dianggapnya sebagai tempat lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, saudara mangsa, Wee Suey See, 49, berkata Kong pulang dari tempat kerja kira-kira jam 5 petang sebelum menyediakan makan malam.

Katanya, saudara-mara yang tinggal di belakang rumah berkenaan kemudian terdengar bunyi letupan kecil sebelum naik ke tingkat atas untuk melihat keadaan.

“Selepas membuka tingkap, mereka nampak api sedang marak dan menyelubungi rumah. Dalam keadaan panik, mereka mengetuk pintu, namun Kong hanya sempat memberi respons ringkas sebelum tidak lagi bersuara,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Suey See berkata, dia bergegas dari Pengkalan Chepa selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.

Menurutnya, Kong tinggal seorang diri di rumah pusaka peninggalan mendiang ibu bapanya yang sudah lama tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Dia tidak mempunyai masalah kesihatan dan masih aktif bekerja selain menjadi anggota RELA,” katanya.

Mohd Fadhlizil berkata, punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Getaran, 11 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved