NCER catat pelaburan RM4.6 bilion di Perak dan cipta 3,867 peluang pekerjaan bagi 9M26

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NCER catat pelaburan RM4.6 bilion di Perak dan cipta 3,867 peluang pekerjaan bagi 9M26 Image from: NCER catat pelaburan RM4.6 bilion di Perak dan cipta 3,867 peluang pekerjaan bagi 9M26 amree06/11/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov — Perak berjaya merealisasikan pelaburan sebanyak RM4.6 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sekali gus menjana 3,867 peluang pekerjaan baharu menerusi pembangunan ekonomi di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pencapaian positif dari awal Januari hingga akhir September 2026 itu mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap potensi ekonomi Perak.

 

Beliau berkata, pertumbuhan pelaburan berkenaan turut didorong faktor kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam memperkukuh pembangunan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.

 

"Sektor pembuatan, automotif, ekonomi digital, pemprosesan makanan dan pelancongan menjadi antara pemacu utama kepada pertumbuhan pelaburan di negeri berkenaan," jelas beliau dalam kenyataan yang merujuk prestasi semasa pelaburan di Perak setakat ini.

 

Ujarnya, pencapaian berkenaan selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Perak Sejahtera 2030 dan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan pembangunan ekonomi bernilai tinggi, transformasi industri serta pewujudan pekerjaan berkualiti.

 

Menerusi Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, Perak tambah beliau, disasarkan mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah sebanyak RM119.6 bilion dan pelaburan terkumpul yang direalisasikan berjumlah RM58.8 bilion menjelang 2030.

 

NCER_DagangNews2026

 

Tambah Mohamad Haris, pelan bersepadu tersebut turut menyasarkan pewujudan lebih 46,000 peluang pekerjaan baharu secara terkumpul serta peningkatan kadar pendapatan isi rumah kelas penengah kepada kira-kira RM6,700 setiap bulan.

 

"Antara projek strategik yang sedang dipacu negeri tersebut ialah pengukuhan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim bagi memperkukuh ekosistem automotif negara dan merancakkan lagi aktiviti perindustrian bernilai tambah tinggi," kata beliau.

 

NCIA turut memudah cara pembangunan QL InnoFood Park di Hutan Melintang untuk memperkasa industri pemprosesan makanan, selain Taman Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk bagi memajukan sektor perikanan moden menerusi aktiviti hiliran bernilai tinggi.

 

Sementara itu, dalam sektor ekonomi digital pula ujar Mohamad Haris, pembangunan infrastruktur digital strategik terus diperkukuh bagi menarik banyak lagi pelaburan teknologi serta meningkatkan daya saing Perak memperkasakan bidang ekonomi digital.

 

Dalam pada itu, sektor pelancongan turut diberi tumpuan menerusi projek transformasi utara Pulau Pangkor, Projek Pemangkin Sempadan Royal Belum serta pembangunan infrastruktur pelancongan di Tapak Warisan Arkeologi Lembah Lenggong. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved