Exsim Hospitality rancang ambil alih hotel 456 bilik berharga RM22 juta di Damansara

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 9:04 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Exsim Hospitality rancang ambil alih hotel 456 bilik berharga RM22 juta di Damansara Image from: Exsim Hospitality rancang ambil alih hotel 456 bilik berharga RM22 juta di Damansara liza17/11/2026 - 09:04 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Exsim Hospitality Berhad merancang mengambil alih sebuah hotel empat bintang dengan 456 bilik di Empire City, Damansara pada harga RM226 juta menerusi opsyen beli yang diperoleh daripada Iconic Insight Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata cadangan pengambilalihan itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Blossom Hectares Sdn Bhd yang memeterai perjanjian opsyen beli dengan Iconic Insight pada Isnin. Hotel 32 tingkat yang dikenali sebagai Tower F itu kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku pertama 2027.

 

Exsim Hospitality berkata, cadangan pengambilalihan itu selaras dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan operasi menerusi pemilikan aset hospitaliti secara langsung, khususnya di lokasi yang mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang dan potensi peningkatan nilai.

 

Menurut kumpulan itu, selepas pengambilalihan selesai, Tower F akan menjadi sebahagian daripada portfolio aset hospitaliti milik dan kendalian sendiri (own-and-operate) yang akan menyumbang pendapatan berulang selepas mula beroperasi.

 

Struktur transaksi dan kepentingan pihak berkaitan

Iconic Insight sebelum ini memperoleh bangunan berkenaan daripada pemaju, Uni Land Sdn Bhd pada Februari 2026 dengan harga RM226 juta. Uni Land dikawal oleh Exsim Development Sdn Bhd yang dimiliki oleh tiga beradik Lim iaitu Lim Aik Hoe, Lim Aik Kiat dan Lim Aik Fu. Ketiga-tiga individu itu mempunyai 68.12% kepentingan dalam Exsim Hospitality menerusi Exsim Hospitality Holdings Sdn Bhd.

 

Perjanjian opsyen tersebut memberikan Blossom Hectares hak untuk membeli Tower F pada harga RM226 juta, iaitu nilai yang sama dengan harga pembelian asal oleh Iconic Insight.

 

Perjanjian itu dijangka menjadi tanpa syarat pada separuh pertama 2027, selepas itu Blossom Hectares mempunyai tempoh enam bulan untuk melaksanakan opsyen berkenaan dengan pilihan melanjutkan tempoh tersebut selama enam bulan lagi.

 

Sekiranya opsyen itu dilaksanakan, hasil pembelian akan digunakan terlebih dahulu untuk menyelesaikan baki tertunggak Iconic Insight kepada Uni Land bagi pembelian asal bangunan tersebut. Baki pembayaran akan disalurkan kepada Iconic Insight.

 

Setakat 30 Oktober 2026, jumlah tertunggak yang perlu dibayar kepada Uni Land ialah RM178.83 juta.

 

Pembiayaan dan kelulusan pemegang saham

Aturan penyelesaian pembayaran itu menjadikan cadangan pengambilalihan berkenaan sebagai transaksi pihak berkaitan berikutan kepentingan tiga beradik Lim dalam kedua-dua Exsim Hospitality dan Uni Land.

 

Pelaksanaan opsyen beli itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Exsim Hospitality yang tidak mempunyai kepentingan dalam transaksi berkenaan menerusi mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan.

 

MainStreet Advisers Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat bebas untuk memberikan nasihat kepada pemegang saham tidak berkepentingan berhubung cadangan transaksi itu.

 

Dari segi pembiayaan, Exsim Hospitality menjangkakan 80% daripada harga pembelian atau RM180.8 juta akan dibiayai melalui pinjaman bank, manakala baki RM45.2 juta menggunakan dana yang dijana secara dalaman.

 

Bangunan hotel empat bintang itu mempunyai 456 bilik dengan kerja pembinaan bermula pada Mac 2025. Kemajuan pembinaan mencapai 85% setakat 30 Oktober 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved