BAGAN DATUK – Seorang nelayan ditemukan lemas selepas dipercayai turun ke dalam air bagi memeriksa kipas bot di Pelantar B10, Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang di sini pada Rabu.
Mangsa, Pee Kian Kok, 55, ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.28 petang, Selasa.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 5.8 kilometer dari balai.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa dipercayai lemas selepas tidak timbul ke permukaan ketika melakukan kerja pemeriksaan kipas bot di dalam air.
"Keadaan arus deras serta hujan lebat menyukarkan operasi menyelamat, menyebabkan operasi ditangguhkan pada jam 7.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sabarodzi berkata, operasi pencarian disambung semula pada pagi Rabu dengan kaedah pencarian permukaan menggunakan bot aluminium selepas keadaan cuaca kembali reda.
Menurutnya, mayat mangsa berjaya ditemui oleh anggota bomba pada jam 8.07 pagi sebelum dibawa naik ke darat.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tersebut melibatkan seramai 13 anggota bomba termasuk Unit K9, selain dibantu dua anggota polis dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

