liza30/09/2026 - 17:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept – NexG Berhad akan kembali menggunakan nama Datasonic Group Berhad selepas cadangan pertukaran nama itu diluluskan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-18 syarikat hari ini.
Pertukaran nama itu merupakan antara semua resolusi yang diluluskan pemegang saham, sekali gus menandakan langkah syarikat untuk meneruskan operasi di bawah nama Datasonic yang sudah lama dikenali dalam kalangan pihak berkepentingan, pelanggan dan rakan niaga di Malaysia serta peringkat antarabangsa.
Menurut NexG, pertukaran nama berkenaan turut menyokong usaha kumpulan memperluas kehadiran di pasaran luar negara dengan memanfaatkan pengiktirafan jenama serta hubungan perniagaan yang telah dibina sejak sekian lama.
Kembali kepada jenama yang dikenali
Nama baharu itu bagaimanapun hanya akan berkuat kuasa selepas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan Notis Pendaftaran Nama Baharu kepada syarikat.
Pengerusi Eksekutif NexG Berhad, Datuk Ishak Ismail berkata sokongan pemegang saham terhadap pertukaran nama itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap hala tuju kumpulan.
Beliau berkata, penggunaan semula nama Datasonic menghubungkan kumpulan dengan identiti yang telah lama dikenali, khususnya dalam kalangan pelanggan dan rakan niaga sedia ada di Malaysia serta luar negara, selain menjadi permulaan kepada fasa pertumbuhan seterusnya.
Kekal fokus teknologi identiti yang selamat
Menurutnya, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan teras berkaitan identiti selamat, melaksanakan projek sedia ada dengan berkesan serta meningkatkan keupayaan menerusi teknologi dan automasi.
Selain pertukaran nama, pemegang saham turut meluluskan pemilihan semula pengarah yang bersara dan layak dipilih semula, pelantikan semula PKF PLT sebagai juruaudit luar, mandat am bagi penerbitan dan peruntukan saham serta pembaharuan kuasa membeli balik saham syarikat.
NexG merupakan penyedia penyelesaian teknologi bersepadu berkaitan keselamatan di Malaysia dan mempunyai pengalaman dalam projek nasional yang penting, termasuk kad pengenalan pelbagai guna, pasport elektronik (e-pasport) yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), pintu automatik dengan biometrik, pengecaman wajah, kad pintar kewangan serta sistem pengawasan dan teknologi maklumat berkaitan penjagaan kesihatan.
Untuk rekod, syarikat itu sebelum ini menggunakan nama Datasonic Group Berhad sebelum ditukar kepada NexG Berhad berkuat kuasa pada 20 Februari 2025.
Kini, selepas kira-kira 19 bulan beroperasi di bawah nama NexG, pemegang saham pada 30 September 2026 meluluskan cadangan untuk kembali menggunakan nama Datasonic Group Berhad. - DagangNews.com






