
SEREMBAN: Sekretariat Gabungan-Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Sembilan melahirkan kekecewaan terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dalam menangani krisis adat dan pentadbiran yang masih berlarutan di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya bagaimanapun menghormati kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar yang diberikan mandat untuk menerajui kerajaan negeri, namun cara krisis berkenaan ditangani menimbulkan persoalan dalam kalangan NGO.
Menurutnya, pihaknya mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada Menteri Besar bagi mengetahui keadaan sebenar, selain memastikan pelbagai perkara yang dibangkitkan rakyat ketika ini mempunyai asas yang tepat.
“Kami menghormati beliau sebagai Menteri Besar yang diberikan mandat kerajaan. Namun, kami sedikit kecewa dengan cara beliau menyelesaikan isu-isu yang timbul hari ini.
“Kami mahu tahu lebih dekat sama ada perkara yang dilontarkan rakyat itu betul atau sebaliknya. Sebab itu, lebih baik kita berdepan dan mendengar sendiri penjelasan daripada beliau,” katanya pada sidang akhbar di Galeri Tuanku Ja’afar, di sini hari ini.
Sidang akhbar itu turut dihadiri wakil daripada 15 NGO di Negeri Sembilan.
Omar berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian berdasarkan pelbagai dakwaan yang tersebar di media sosial, sebaliknya mahu mendapatkan kepastian daripada pihak berkaitan sebelum mengambil sebarang pendirian.
Katanya, NGO berkenaan juga tidak mahu dilihat menyebelahi mana-mana pihak dalam krisis itu, sebaliknya mahu memastikan kepentingan dan kestabilan Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Kita tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak. Kita sayangkan negeri ini dan sebagai NGO, kita tidak boleh membuat andaian berdasarkan apa yang diperkatakan orang di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kedudukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dimana pihaknya mengalami kesukaran untuk bertemu wakil kerajaan bagi menyampaikan permasalahan rakyat.
Sehubungan itu, Omar berharap pertemuan antara gabungan NGO berkenaan dengan Menteri Besar dapat diadakan dalam masa terdekat, sebaik-baiknya sebelum pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan.
Katanya, pertemuan itu penting bagi membolehkan pihaknya mengemukakan beberapa persoalan dan mendapatkan penjelasan secara telus daripada Menteri Besar berhubung krisis yang berlaku.
“Kalau boleh, kami mahu Menteri Besar bersikap telus dengan NGO kerana kami mewakili suara rakyat dan mahu mengetahui keadaan sebenar krisis yang berlaku ketika ini,” katanya. – UTUSAN
The post NGO kecewa cara MB selesaikan krisis adat, pentadbiran appeared first on Utusan Malaysia.





