TAMPIN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan bahawa perbincangan berhubung krisis adat dan pentadbiran negeri itu kini menunjukkan perkembangan positif.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Juasseh itu berkata, ia termasuklah memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) negeri yang dijadualkan berlangsung pada 26 November ini, disusuli dengan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 keesokannnya dapat dilaksanakan.
Bagaimanapun katanya, beliau masih sedang berusaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengenai tarikh terbabit.
"Saya sedang berusaha, dalam proses berusaha dan meneruskan usaha buat yang terbaik untuk rakyat Negeri Sembilan.
"Saya rasa di peringkat UMNO sudah selesailah seperti yang dikatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada perbincangan dan kita ke arah yang positif tentang semua perkara di Negeri Sembilan," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas soalan pemberita berkenaan kenyataan Ahmad Zahid yang menyatakan keyakinan bahawa kemelut yang melanda Negeri Sembilan ketika ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun Ismail enggan mengulas berkenaan dakwaan yang beliau mengubah pendirian dengan menyokong kembali Tuanku Muhriz meskipun telah menandatangani proklamasi pemecatan baginda pada Ogos lalu.
Ditanya berkenaan kekecewaan yang diluahkan oleh Sekretariat Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Sembilan terhadap caranya menangani krisis yang sedang berlaku ketika ini, Ismail berkata, beliau masih belum berkesempatan membaca laporan berkenaan.
"Saya tak tengok lagi sebab pagi tadi saya sibuk di Sendayan dalam program perasmian kilang Rolls-Royce," katanya.





