KIP REIT tambah hartanah ke-20 dengan pengambilalihan Setapak Central Mall bernilai RM435 juta

30 Sep 2026 • 3:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KIP REIT tambah hartanah ke-20 dengan pengambilalihan Setapak Central Mall bernilai RM435 juta Image from: KIP REIT tambah hartanah ke-20 dengan pengambilalihan Setapak Central Mall bernilai RM435 juta liza30/09/2026 - 15:43 Pengambilalihan itu turut menjadikan Setapak Central Mall sebagai hartanah ke-20 dalam portfolio KIP REIT dan yang pertama milik dana pelaburan hartanah (REIT) itu di Kuala Lumpur Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Sept – KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) kini mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai RM2.2 bilion selepas menyelesaikan pengambilalihan Setapak Central Mall bernilai RM435 juta, sekali gus mencapai sasaran AUM RM2 bilion bagi 2027 lebih awal daripada jadual.

 

Pengambilalihan itu turut menjadikan Setapak Central Mall sebagai hartanah ke-20 dalam portfolio KIP REIT dan yang pertama milik dana pelaburan hartanah (REIT) itu di Kuala Lumpur.

 

Sejurus selesai pengambilalihan, pusat beli-belah tiga tingkat berkenaan secara rasmi dijenamakan semula sebagai KIPMall Setapak.

 

KIPMall Setapak mempunyai kawasan boleh disewa bersih (NLA) seluas 514,777 kaki persegi, termasuk tempat letak kereta bawah tanah dan terletak di kawasan Setapak yang mempunyai komuniti setempat yang matang serta pelbagai kelompok penduduk.

 

KIP REIT berkata, kedudukan Setapak yang berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur serta dikelilingi kawasan perumahan dan komersial menjadikan KIPMall Setapak mempunyai pangkalan pelanggan yang luas, termasuk keluarga muda dan pelajar daripada institusi pengajian tinggi berhampiran.

 

AUM RM2.2 bilion, sasaran 2027 dicapai lebih awal

Dengan pengambilalihan itu, jumlah NLA KIP REIT meningkat kira-kira 16% kepada 3.8 juta kaki persegi, manakala nilai keseluruhan aset meningkat kepada RM2.2 bilion.

 

KIP REIT berkata, KIPMall Setapak turut membawa profil pendapatan yang stabil kepada portfolio kumpulan, disokong kadar penghunian yang kukuh.

 

Pusat beli-belah itu mencatat pendapatan bersih hartanah (NPI) RM31.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025, bersamaan 24.1% daripada NPI KIP REIT bagi FY2026. Berdasarkan harga pemerolehan RM435 juta, angka itu bersamaan hasil sebanyak 7.2%.

 

t
Majlis menandatangani kerjasama bersama rakan niaga runcit, dari kiri: Pengarah Urusan Oriental Kopi Holdings Berhad, Dato’ Calvin Chan Jian Chern; Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KIP Real Estate Investment Trust, Valerie Ong Pui Shan; Pengurus Besar Operasi Strategik dan Projek Jaya Grocer, Caroline Wong; dan Pengurus Besar Panda Eyes, Lance Fu.

 

Pendapatan daripada KIPMall Setapak akan mula diiktiraf dalam keputusan kewangan KIP REIT mulai suku kedua tahun kewangan 2027 (Q2FY2027), dengan kumpulan itu turut merancang untuk terus memperkukuh campuran penyewa di pusat beli-belah berkenaan.

 

Antara jenama yang akan mengukuhkan barisan penyewa ialah Jaya Grocer, Oriental Kopi, Panda Eyes, HLA dan Bambu Lab, sebuah syarikat teknologi percetakan tiga dimensi (3D) yang dijangka membantu meningkatkan daya tarikan KIPMall Setapak kepada pelanggan.

 

Dibiayai melalui pinjaman dan terbitan persendirian

KIP REIT berkata, pemerolehan bernilai RM435 juta itu dibiayai menerusi gabungan pinjaman bank melalui nota jangka sederhana (MTN) bertaraf AAA serta hasil terbitan persendirian.

 

Terbitan persendirian itu menyumbang RM161.6 juta kepada pembiayaan pemerolehan, bersamaan 37.1% daripada jumlah keseluruhan pembiayaan, manakala penyertaan kukuh pelabur institusi sedia ada dan pelabur baharu membantu meluaskan asas pelabur institusi KIP REIT.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, penyelesaian pemerolehan itu menandakan pencapaian penting bagi kumpulan berkenaan kerana menambah hartanah ke-20 serta hartanah pertama di Kuala Lumpur.

 

"Seiring dengan 20 hartanah dan AUM RM2.2 bilion, kami kekal memberi tumpuan kepada pertumbuhan portfolio secara berdisiplin, peningkatan aset serta inisiatif operasi bagi memperkukuh kualiti dan daya tahan asas pendapatan kami," katanya.

 

Beliau berkata, penjenamaan semula Setapak Central Mall kepada KIPMall Setapak pula membuka lembaran baharu untuk hartanah itu di bawah jenama KIPMall, dengan kumpulan akan memanfaatkan kehadiran sedia ada serta kadar penghunian yang tinggi sambil meneroka peluang untuk meningkatkan kedudukannya dan memberikan nilai mampan kepada pemegang unit. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved