KULAI – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyifatkan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kumpulan kongsi gelap di negeri ini sebagai tuduhan jahat dan langsung tidak berasas.
Nie Ching yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, beliau telah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung hantaran yang dibuat menerusi sebuah akaun Facebook itu.
Menurut beliau, akaun media sosial berkenaan turut mengaitkan beliau dengan kes kemalangan jalan raya yang kini sedang disiasat polis.
“Itu adalah tuduhan yang sangat jahat dan tidak berasas langsung. Terdapat satu akaun media sosial yang membuat tuduhan palsu terhadap saya.
“Akaun tersebut mendakwa saya terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan satu kes kemalangan jalan raya yang kini sedang disiasat oleh pihak polis,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Hutan Bandar Putra, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kulai itu berkata, beliau mengalu-alukan siasatan menyeluruh dilakukan polis berhubung kes berkenaan.
“Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad telah mengadakan sidang media dan memaklumkan bahawa seramai 13 suspek telah ditangkap.
“Saya mengalu-alukan siasatan menyeluruh daripada pihak polis,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai atau terpedaya dengan dakwaan yang dibuat oleh individu tidak dikenali, khususnya menerusi media sosial.
Menurutnya, perkembangan teknologi digital menyebabkan sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa penyebaran maklumat palsu dan fitnah.
“Kejadian ini menunjukkan bahawa pada zaman digital ini, semua orang berisiko menjadi mangsa.
“Oleh itu, jangan mudah percaya kepada maklumat yang kita terima tanpa membuat pemeriksaan. Kita perlu berfikir secara rasional dan menyiasat terlebih dahulu,” katanya.
Pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang turut membuat laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial yang membuat dakwaan mengaitkan Nie Ching dengan kumpulan kongsi gelap.
Kes tersebut dipercayai berkaitan siasatan polis terhadap kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dalam kejadian di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4 di sini, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kemalangan sebelum disiasat semula sebagai kes bunuh.






