Pengeluaran tandan buah segar lebih rendah jejaskan prestasi operasi United Malacca bagi 1QFY27

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 9:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluaran tandan buah segar lebih rendah jejaskan prestasi operasi United Malacca bagi 1QFY27 Image from: Pengeluaran tandan buah segar lebih rendah jejaskan prestasi operasi United Malacca bagi 1QFY27 amree25/09/2026 - 09:05 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept – United Malacca Berhad berdepan tekanan terhadap prestasi operasi Malaysia apabila pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang lebih rendah dan peningkatan kos pengeluaran menyebabkan sumbangan segmen merosot bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27).

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, cabaran itu berlaku meskipun harga purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) bagi operasi Malaysia meningkat, masing-masing kepada RM4,512 dan RM3,523 setiap tan, berbanding RM4,001 dan RM3,151 pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi operasi Indonesia yang lebih kukuh namun mengurangkan tekanan, dengan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan naik kepada RM24.4 juta daripada RM9.3 juta, disokong pengeluaran tinggi FFB serta kos seunit didapati semakin rendah.

 

"Keadaan itu menunjukkan cabaran utama United Malacca bukan semata-mata pergerakan harga komoditi, sebaliknya keupayaan meningkatkan produktiviti, mengawal kos dan mengekalkan pengeluaran FFB, khususnya bagi operasi Malaysia," jelas kenyataan kumpulan perladangan tersebut.

 

Pada masa sama, kumpulan berkenaan turut memberi amaran mengenai kesan daripada risiko fenomena Super El Niño yang dijangka berlaku sepanjang separuh kedua tahun kewangan 2027 (2HFY27) dan berpotensi mengakibatkan cuaca amat kering sehingga menjejaskan pengeluaran.

 

Dalam pada itu, kumpulan tersebut mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi 1QFY27 berjumlah RM31.8 juta, turun kira-kira 15.8% daripada RM37.8 juta setahun sebelumnya, manakala hasil susut 6% kepada hanya RM180.1 juta berbanding sebanyak RM191.6 juta.

 

United Malacca_DagangNews2026

 

Bagi operasi Malaysia ujar United Malacca, EBITDA mencatatkan kemerosotan kira-kira 39% kepada RM34.5 juta daripada sebanyak RM56.7 juta pada tempoh 1QFY26, terutamanya disebabkan pengeluaran FFB yang lebih rendah dan kos pengeluaran yang meningkat.

 

"Sebaliknya, operasi Indonesia mencatat peningkatan ketara apabila EBITDA meningkat kepada RM24.4 juta daripada hanya RM9.3 juta, walaupun harga purata MSM lebih rendah pada RM3,372 setiap tan berbanding RM3,470 satu tan sebelumnya," kata kumpulan itu.

 

Harga purata PK di Indonesia namun bertambah sedikit kepada RM3,089 setiap tan daripada RM3,048 manakala segmen pegangan pelaburan merekodkan keuntungan RM926,000, turun 19% daripada RM1.1 juta, disebabkan kerugian pertukaran asing (forex) susulan penyusutan nilai rupiah berbanding ringgit.

 

Tiada dividen diisytiharkan bagi suku berkenaan. Mengulas mengenai prospek, United Malacca menjangkakan pengeluaran FFB dapat kekal stabil sepanjang FY27, disokong profil umur tanaman yang lebih baik serta penambahbaikan operasi secara berterusan. 

 

Bagaimanapun, kumpulan tersebut tetap memberi amaran pengeluaran boleh terjejas akibat jangkaan Super El Niño pada 2HFY27, dan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja, inisiatif mekanisasi, kecekapan kos dan peningkatan hasil minyak. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved