Nilai jualan borong dan runcit naik 15.9% kepada RM183.1 bilion bagi September 2026 - DOSM

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 2:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nilai jualan borong dan runcit naik 15.9% kepada RM183.1 bilion bagi September 2026 - DOSM Image from: Nilai jualan borong dan runcit naik 15.9% kepada RM183.1 bilion bagi September 2026 - DOSM amree13/11/2026 - 14:51 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov — Perbelanjaan pengguna Malaysia menunjukkan momentum yang lebih kukuh pada September 2026 apabila nilai jualan perdagangan borong dan runcit melonjak kira-kira 15.9% kepada RM183.1 bilion, berbanding rekod bulan sama tahun lalu.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pertumbuhan tersebut didapati lebih pantas berbanding peningkatan hanya sebanyak 10.5% yang pernah dicatatkan pada Ogos 2026, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam aktiviti perdagangan domestik.

 

Agensi statistik rasmi kerajaan berkenaan dalam laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit September 2026 menambah, ketiga-tiga subsektor utama iaitu perdagangan borong, runcit dan kenderaan bermotor mencatatkan situasi pertumbuhan yang positif.

 

"Dari segi nilai jualan, subsektor perdagangan borong merekodkan peningkatan 25.3% kepada RM89 bilion, diikuti kenderaan bermotor yang naik 13.4% kepada RM20.5 bilion dan perdagangan runcit pula 6.9% kepada RM73.7 bilion," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 

Prestasi perdagangan borong didorong kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang melonjak 56.7% kepada RM40.4 bilion, disokong peningkatan jualan petrol, diesel, pelincir dan gas petroleum cecair (LPG), termasuk kesan daripada harga pasaran petroleum.

 

Selain itu ujar DOSM, jualan borong barangan isi rumah meningkat 7% kepada RM16.2 bilion, manakala jualan makanan, minuman dan tembakau berkembang kira-kira 6% berikutan peningkatan permintaan terhadap beras, bijirin, tepung, gula serta hasil laut.

 

DOSM_DagangNews2026

 

Bagi subsektor runcit, jualan di kedai bukan pengkhususan meningkat 7.9% kepada RM29.2 bilion, disokong prestasi lebih baik pasar raya dan pasar mini, manakala jualan barangan lain di kedai pengkhususan berkembang 6% kepada sebanyak RM15.1 bilion.

 

"Subsektor kenderaan bermotor turut mencatatkan perkembangan positif apabila jualan kenderaan meningkat 17.3% kepada RM10.1 bilion, selain jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal serta komponen berkaitan yang melonjak 33%," jelas agensi berkenaan.

 

Dari segi volum, indeks perdagangan borong dan runcit naik 5.5% tahun ke tahun (YoY), dipacu pertumbuhan subsektor kenderaan bermotor sebanyak 12.1%, perdagangan borong (5.5%) dan perdagangan runcit (4.2%). Indeks volum terlaras secara bermusim pula meningkat 2.5% berbanding Ogos 2026.

 

Bagaimanapun kata kenyataan DOSM tersebut, pertumbuhan jualan runcit dalam talian menunjukkan sedikit kelembapan apabila indeksnya hanya meningkat kira-kira 6.3% pada September 2026 berbanding 6.7% pada bulan yang sebelumya itu.

 

Secara bulanan, nilai perdagangan borong dan runcit turut mencatatkan peningkatan lebih pantas sebanyak 5.9% pada September berbanding 1.5% pada Ogos, menunjukkan aktiviti perdagangan domestik terus berkembang menjelang suku terakhir 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved