Nilai kerja pembinaan meningkat 8.8% kepada RM47.8 bilion pada 2Q26 - DOSM

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nilai kerja pembinaan meningkat 8.8% kepada RM47.8 bilion pada 2Q26 - DOSM Image from: Nilai kerja pembinaan meningkat 8.8% kepada RM47.8 bilion pada 2Q26 - DOSM johardy13/08/2026 - 14:20 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Nilai kerja yang dilaksanakan dalam sektor pembinaan meningkat 8.8% tahun ke tahun kepada RM47.8 bilion pada suku kedua 2026 (2Q26), mengekalkan momentum stabil selepas mencatat pertumbuhan 8.5% pada 1Q26, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata, prestasi itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan berterusan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman yang masing-masing mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 17.6% dan 13.3%.

 

Subsektor bangunan kediaman pula meningkat 8.7%, diikuti subsektor kejuruteraan awam dengan pertumbuhan 2.7%, kata DOSM dalam satu kenyataan hari ini.

 

DOSM berkata, subsektor kejuruteraan awam menyumbang RM16.7 bilion atau 35% daripada keseluruhan nilai kerja yang dilaksanakan pada suku berkenaan. Prestasi itu didorong oleh pembinaan projek utiliti bernilai RM8.1 bilion serta jalan raya dan landasan kereta api sebanyak RM6.9 bilion.

 

Sementara itu, nilai kerja yang dilaksanakan bagi subsektor bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing berjumlah RM14 bilion, mewakili 29.3% daripada keseluruhan nilai kerja, dan RM10.9 bilion atau 22.8%.

 

Subsektor aktiviti pertukangan khas menyumbang RM6.2 bilion atau 12.9%, disokong oleh penyediaan tapak sebanyak RM1.5 bilion, pemasangan paip, haba dan pendingin hawa RM1.3 bilion serta pemasangan elektrik RM1.3 bilion.

 

Sektor swasta kekal pemacu utama

DOSM berkata, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada suku berkenaan dengan sumbangan RM31.4 bilion atau 65.8% daripada keseluruhan nilai kerja yang dilaksanakan.

 

"Sektor swasta mengekalkan momentum pertumbuhan dua angka dengan mencatat pertumbuhan 11.4% (1Q26: 13.2%), didorong prestasi kukuh subsektor aktiviti pertukangan khas (20.2%) dan bangunan bukan kediaman (18.2%).

 

"Sementara itu, nilai kerja yang dilaksanakan oleh sektor awam meningkat 4.1% (1Q26: 0.5%) kepada RM16.4 bilion, merangkumi 34.2% daripada keseluruhan nilai, disokong subsektor aktiviti pertukangan khas (11%)," katanya.

 

Mengikut negeri, hampir 65.8% daripada nilai kerja yang dilaksanakan tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Sarawak.

 

"Nilai kerja di Selangor berjumlah RM12.2 bilion atau 25.5%, dengan subsektor bangunan bukan kediaman (RM4.8 bilion) dan bangunan kediaman (RM3.2 bilion) menjadi penyumbang utama.

 

"Johor berada di tempat kedua dengan RM9.4 bilion atau 19.6%, disokong terutamanya oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM3.5 bilion), manakala nilai kerja di Wilayah Persekutuan berjumlah RM5.2 bilion (10.8%) dan Sarawak merekodkan RM4.7 bilion (9.9%)," katanya.

 

Nilai kerja 1H26 cecah RM94.3 bilion

Bagi separuh pertama 2026 (1H26), DOSM berkata, nilai kerja yang dilaksanakan dalam sektor pembinaan mencecah RM94.3 bilion, meningkat 8.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

"Pertumbuhan itu lebih sederhana berbanding 14.7% yang dicatatkan pada 1H25, dengan prestasi disokong pertumbuhan positif dalam semua subsektor, khususnya aktiviti pertukangan khas (21%) dan bangunan bukan kediaman (13%)," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved