liza14/09/2026 - 17:54 Kompleks Bersepadu Pengerang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept – GFM Services Berhad meningkatkan nilai tempahan kerja bagi penyelenggaraan di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor sebanyak 56% kepada RM104.2 juta daripada RM66.8 juta sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GFM berkata perubahan itu membabitkan Shapadu CR Asia Sdn Bhd (SCRA), anak syarikat tidak langsung GFM dengan pegangan 60% selepas Pengerang Refining Company Sdn Bhd (PRC) menaikkan nilai tempahan kerja tersebut.
Nilai tempahan kerja berkenaan meningkat RM37.4 juta daripada RM66.8 juta yang diumumkan sebelum ini pada 4 Ogos 2026 yang melibatkan beberapa pakej kerja penyelenggaraan besar-besaran (major turnaround) di PIC.
Dengan peningkatan tersebut, jumlah nilai kasar anggaran empat tempahan kerja yang diperoleh anak syarikat GFM bagi kitaran penyelenggaraan besar pertama PIC kini mencapai RM268.7 juta.
Jumlah Tempahan Kerja PIC Capai RM268.7 Juta
Selain tempahan kerja RM104.2 juta menerusi SCRA, GFM turut mempunyai tempahan kerja bernilai RM16.3 juta yang diterima Highbase Strategic Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kumpulan.
Selain itu, HIMS Integrated Services Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung GFM dengan pegangan 51% pula memperoleh dua tempahan kerja dengan jumlah nilai RM148.2 juta.
Kesemua empat tempahan kerja yang diperoleh itu menjadikan jumlah nilai kasar anggaran kerja bagi kitaran penyelenggaraan besar pertama PIC sebanyak RM268.7 juta.
Pengarah Urusan GFM, Ruslan Nordin berkata peningkatan nilai tempahan kerja SCRA memberikan gambaran pendapatan yang lebih jelas kepada segmen Tenaga kumpulan bagi 2027.
Menurut beliau, tumpuan GFM kini adalah memastikan semua kerja berkenaan dilaksanakan dengan baik, selain meningkatkan kedudukan kumpulan untuk mendapatkan peluang penyelenggaraan dan penyelenggaraan besar pada masa akan datang.
Kerja Dijangka Bermula Mac 2027
Kerja di bawah tempahan berkenaan dijangka bermula pada Mac 2027 dan menyumbang secara positif kepada pendapatan GFM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027.
GFM berkata nilai tempahan kerja berkenaan masih merupakan anggaran dan tertakluk kepada pelarasan berdasarkan keperluan setiap pelanggan. - DagangNews.com






