Nordin Yahaya julang nama UPSI, wakili Malaysia ke WAGC Dunia 2026

3 Oct 2026 • 7:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Nordin Yahaya julang nama UPSI, wakili Malaysia ke WAGC Dunia 2026
Nordin (tiga dari kanan) bergambar bersama trofi pada Pusingan Akhir Kebangsaan Siri Golf Amatur Kebangsaan Perodua (PNAGS) 2026 di Templer Park Country & Golf Club, Rawang, Selangor. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Kejayaan kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nordin Yahaya muncul juara kategori Gross pada Pusingan Akhir Kebangsaan Siri Golf Amatur Kebangsaan Perodua (PNAGS) 2026 di Templer Park Country & Golf Club, Rawang, Selangor, semalam, mengharumkan nama universiti di pentas sukan golf kebangsaan.

Nordin yang bermain dengan handicap satu merekodkan keseluruhan 153 pukulan dalam dua pusingan untuk dinobatkan sebagai juara kategori Gross, sekali gus melayakkan beliau menyarung jersi negara dan mewakili Malaysia pada Pusingan Akhir Kejohanan Pemain-Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) 2026 di Desaru Coast, Johor dari 23 hingga 31 Oktober ini.

Kejayaan itu dicapai dalam saingan yang menghimpunkan 84 pemain golf amatur terbaik negara bagi merebut gelaran dalam lima kategori Medal A hingga E, kategori Gross serta berpasukan negeri.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata kejayaan Nordin membuktikan warga universiti bukan sahaja mampu menyerlah dalam bidang akademik dan profesional, malah turut berupaya mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.

“UPSI amat berbangga dengan kejayaan Nordin yang telah mengharumkan nama universiti menerusi pencapaian di peringkat kebangsaan sehingga melayakkan beliau mewakili Malaysia ke kejohanan bertaraf dunia.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan warga UPSI dalam mengejar kecemerlangan dalam pelbagai bidang, selain membuktikan bahawa warga universiti sentiasa mempunyai ruang untuk menyerlahkan potensi masing-masing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata kejayaan berkenaan turut menjadi inspirasi kepada warga UPSI khususnya dalam mengimbangi kecemerlangan kerjaya dengan penglibatan aktif dalam bidang sukan.

“Universiti sentiasa menyokong usaha warga UPSI untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing dan berharap kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga universiti untuk terus mengharumkan nama UPSI di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya

Sementara itu, kejayaan Nordin di PNAGS 2026 membolehkan beliau menyertai barisan pemain yang akan membawa cabaran Malaysia pada Pusingan Akhir WAGC 2026 di Desaru Coast, Johor.

Kejohanan antarabangsa itu dijangka menghimpunkan kira-kira 500 pemain golf amatur dari 48 negara, sekali gus membuka peluang kepada Nordin untuk bersaing bersama pemain golf amatur dari seluruh dunia.

PNAGS 2026 dianjurkan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026, dengan kejohanan akhir dunia WAGC 2026 dijadual berlangsung dari 23 hingga 31 Oktober ini.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved