Axis-REIT beli kompleks industri Kedah bernilai RM113 juta

30 Jul 2026 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Axis-REIT beli kompleks industri Kedah bernilai RM113 juta Image from: Axis-REIT beli kompleks industri Kedah bernilai RM113 juta liza30/07/2026 - 18:01 Kawasan Industri Padang Meha, Kedah Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai – Axis Real Estate Investment Trust bercadang mengambil alih sebuah kompleks industri di Kawasan Industri Padang Meha, Kedah bernilai RM113 juta.

 

Pengambilalihan itu dibuat menerusi perjanjian jual beli dengan WH Union Development Sdn Bhd bagi memperoleh aset industri yang terletak di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 13.28 ekar.

 

Kompleks industri berkenaan terdiri daripada enam premis dengan keluasan boleh disewa sebanyak 340,047 kaki persegi dan kini telah dihuni sepenuhnya oleh penyewa.

 

Selepas urus niaga itu selesai, yang disasarkan pada suku pertama 2027, WH Union akan menjadi penyewa utama menerusi perjanjian pajakan semula selama enam tahun.

 

Melalui perjanjian tersebut, Axis-REIT dijangka menerima pendapatan sewaan permulaan sebanyak RM620,452.80 sebulan, sekali gus menyumbang kepada pendapatan berulang jangka panjang kumpulan.

 

Aset Strategik Kukuhkan Kehadiran Axis-REIT Di Koridor Industri Utara

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata, pengambilalihan terbaharu itu akan mengukuhkan kehadiran Axis-REIT dalam koridor industri utara.

 

“Kedudukan strategik hartanah itu memberikan akses mudah ke beberapa hab ekonomi dan logistik utama termasuk pusat bandar Kulim, Taman Teknologi Tinggi Kulim, Terminal Kontena Butterworth Utara serta Jambatan Pulau Pinang.

 

“Lokasi berkenaan turut mempunyai potensi pertumbuhan yang baik berikutan perkembangan sektor pembuatan, automotif, tenaga dan teknologi hijau di kawasan tersebut,” katanya.

 

Cadangan pembelian itu akan dibiayai menerusi kemudahan perbankan sedia ada Axis-REIT dan dijangka meningkatkan nisbah pembiayaan kepada kira-kira 33.76% daripada jumlah aset diaudit pada 31 Disember 2025.

 

Prestasi Kewangan Separuh Pertama 2026 Kekal Positif

Dalam perkembangan sama, Axis-REIT mencatat prestasi kewangan positif bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026) dengan pendapatan amanah berjumlah RM179.4 juta.

 

Pendapatan bersih amanah pula meningkat 3.5% tahun ke tahun kepada RM99.5 juta, disokong kecekapan operasi serta keupayaan kumpulan mengekalkan pertumbuhan pendapatan.

 

Bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026), Axis-REIT merekodkan pendapatan amanah sebanyak RM88.8 juta dan pendapatan bersih amanah RM46.3 juta.

 

Axis REIT Managers Berhad turut mencadangkan pengagihan 99% daripada pendapatan direalisasi yang tersedia untuk diagihkan bagi tempoh 1 April 2026 hingga 30 Jun 2026.

 

Pengagihan pendapatan interim kedua itu adalah sebanyak 2.30 sen seunit, termasuk bahagian tidak dikenakan cukai kira-kira 0.02 sen seunit daripada pendapatan keuntungan dikecualikan cukai.

 

Portfolio Berkualiti Sokong Pertumbuhan Jangka Panjang

Jumlah pengagihan pendapatan terkumpul Axis-REIT bagi separuh pertama 2026 mencapai 4.80 sen seunit dan akan dibayar kepada pemegang unit pada 28 Ogos 2026.

 

Leong berkata, portfolio aset industri dan logistik berkualiti tinggi milik Axis-REIT terus menjadi asas kukuh dalam menjana pendapatan berulang.

 

Bagaimanapun, prestasi suku kedua sedikit terjejas berikutan penggantungan kutipan sewaan bagi Wisma Kemajuan selepas kejadian kebakaran pada Februari 2026 sementara menunggu bayaran tuntutan insurans takaful berkaitan kerugian susulan kejadian itu.

 

Axis-REIT Miliki 70 Hartanah Bernilai RM5.42 Bilion

Pada masa sama, Axis-REIT akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kadar penghunian portfolio serta mengembangkan aset yang selari dengan strategi pelaburan jangka panjang.

 

Selain cadangan pembelian kompleks industri di Kedah itu, Axis-REIT turut mempunyai empat perjanjian jual beli lain yang telah dimeterai tetapi masih belum selesai, dengan nilai pembelian gabungan RM280.6 juta.

 

Kesemua pengambilalihan tersebut dijangka selesai menjelang 2027 dan dijangka meningkatkan kualiti serta daya tahan portfolio Axis-REIT dalam menyokong pertumbuhan pendapatan mampan.

 

Sehingga 30 Jun 2026, Axis-REIT memiliki 70 hartanah yang terletak di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan dan Kedah.

 

Portfolio berkenaan merekodkan kadar penghunian sebanyak 93% dengan tempoh tamat pajakan purata berdasarkan sewaan selama 4.2 tahun.

 

Secara keseluruhan, Axis-REIT menguruskan ruang hartanah seluas 15.3 juta kaki persegi dengan nilai aset berjumlah RM5.42 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved