
KUALA LUMPUR – Polis akan meneruskan proses permohonan Red Notice (Notis Merah) melalui pihak Interpol bagi mengesan dan memburu enam lelaki warga asing yang didakwa terlibat dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata di Pavilion Embassy, di sini.
Tindakan itu susulan kesemua suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam tanpa kehadiran mereka (in absentia).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah, Timbalan Pendakwa Raya turut membuat permohonan waran tangkap terhadap kesemua tertuduh.
“Mahkamah telah menetapkan tarikh baharu pada 16 Oktober 2026 untuk sebutan permohonan waran tangkap tersebut.
“Pihak polis selepas itu akan meneruskan proses permohonan Notis Merah melalui pihak Interpol bagi mengesan dan memburu kesemua suspek yang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga China berusia 28 tahun pada 7 September 2026 kira-kira pukul 5.31 petang berhubung kejadian samun di unit kediamannya di Pavilion Embassy, di sini.
“Siasatan dikendalikan oleh pegawai penyiasat Asisten Superintendan Nor Azfandy Azemi di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut Fadil, kertas siasatan berhubung kes samun dalam rumah yang melibatkan mangsa warganegara China itu telah selesai dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Katanya, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kemudian mengarahkan supaya kesemua suspek yang telah dikenal pasti didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.
“Pihak polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedudukan atau gerakan suspek-suspek ini supaya segera menyalurkannya kepada pihak polis di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Pada 8 September lau, media melaporkan dalam kejadian antara pukul 2 hingga 3 petang itu, mangsa, lelaki warga China berusia 28 tahun, kerugian kira-kira RM2.19 juta membabitkan wang tunai, barangan kemas, jam tangan mewah dan pasport. – KOSMO! ONLINE
The post Notis Merah buru 6 warga asing terlibat samun berkumpulan appeared first on Kosmo Online.





