sarah07/10/2026 - 17:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt - Northern Solar Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM34 juta untuk membina loji solar berkapasiti 9.50MW sekali gus menjadikan nilai gabungan kontrak solar berskala besar yang diperolehnya baru-baru ini kira-kira RM153.4 juta.
Anak syarikat milik penuhnya, Northern Solar Sdn Bhd menerima surat anugerah tersebut hari ini bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) loji solar fotovoltan berkenaan.
Loji berkenaan dijadualkan memulakan operasi komersial selewat-lewatnya pada 1 Mei 2027. Northern Solar menjangkakan projek tersebut menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih sesaham mulai tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.
Identiti pihak yang menganugerahkan kontrak itu tidak didedahkan selaras dengan peruntukan kerahsiaan dalam surat anugerah berkenaan.
Kontrak terbaharu itu menyusuli kontrak berkaitan program Solar Berskala Besar kelima (LSS5) bernilai RM119.4 juta yang diperoleh pada Mac 2026. Projek berkenaan kini sedang dilaksanakan.
Nilai kontrak kumpulan yang belum dibilkan berjumlah RM189.3 juta setakat 30 Jun 2026. Projek berskala besar itu memperluas portfolio kumpulan yang turut merangkumi pelanggan komersial, perindustrian dan kediaman.
Tumpuan kepada pelaksanaan dan peluang baharu
“Keutamaan kami ialah menyiapkan setiap projek mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan sambil mengekalkan disiplin ketat dalam pengurusan kos, modal kerja dan risiko pelaksanaan,” kata Pengarah Urusannya, Lew Shoong Kai dalam kenyataan media hari ini.
Northern Solar berkata, penambahbaikan terbaharu Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), yang membolehkan pemaju membekalkan elektrik kepada pengguna korporat melalui grid nasional, berpotensi meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan EPCC solar apabila projek bergerak ke peringkat pembiayaan dan pembinaan.
“Kami akan kekal sangat selektif dengan hanya menerima projek apabila sumber teknikal, keupayaan pelaksanaan dan terma komersial kami menyokong pelaksanaan yang boleh diharap,” kata Lew sambil merujuk kepada peluang dalam projek solar lebih besar serta sistem solar yang digabungkan dengan penyimpanan tenaga.
Kumpulan itu akan menumpukan kepada pelaksanaan kontrak sedia ada dan mendapatkan projek yang bersesuaian sambil membangunkan keupayaannya dalam penyimpanan tenaga serta pemilikan aset tenaga boleh diperbaharui (RE). - DagangNews.com





