KUALA TERENGGANU - "Saya sempat peluk anak arwah yang masih kecil sebelum dia meninggal dunia dalam pelukan saya.
Demikian luahan sayu Mohd Tarmizi Said, 42, ketika menceritakan detik kehilangan cucu saudaranya, Nur Radya Athalia, 4 yang menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Jerangau, Dungun.
Nur Radya merupakan salah seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam tragedi kemalangan menyayat hati di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Felda Jerangau pada petang Isnin.
Mohd Tarmizi berkata, dia tidak menyangka sambutan hari lahir yang diadakan pada malam sebelum kejadian menjadi kenangan terakhir mereka bersama.
"Sedih sangat bila fikirkan anak yang masih kecil, yang baru sahaja sambut hari lahir bersama saya kini sudah tiada. Dia berkongsi tarikh lahir sama dengan saya dan menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan saya, saya sangat rapat dengan mereka.
"Malam sebelum kenduri kami berkumpul makan-makan dan bungkus cenderahati. Waktu itu mereka nampak sangat gembira seolah-olah tiada apa yang akan berlaku. Memang tidak nampak perubahan pelik, cuma ibunya (Nurul Hafizah) ada meminta maaf," katanya sebak.
Beliau ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Selasa.
Dalam tragedi kira-kira jam 6 petang itu, ibu mangsa, Nurul Hafizah Shaary, 39, dan abangnya, Muhammad Redzuan Arash, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Nur Radya pula disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Jerangau, manakala dua lagi adik-beradiknya, Nur Raesha Amanda, 14, dan Nur Rakhis Aralyn, 9, mengalami kecederaan parah.
Mengimbau detik sebelum kejadian, Mohd Tarmizi memberitahu arwah Nurul Hafizah yang menetap di Ajil, Hulu Terengganu adalah antara ahli keluarga terakhir yang bergerak pulang selepas selesai majlis perkahwinan adik bongsunya di Dungun.
"Suami arwah, Mohamad Redzuan Abdullah, 40, bergerak pulang lebih awal dengan motosikal kerana perlu bekerja keesokannya. Arwah pula menyusul kemudian bersama empat anaknya sebelum saya mendapat panggilan berita kemalangan itu.
"Suami arwah sekarang ni masih dalam keadaan trauma dan tidak dapat bercerita lanjut. Saya pula rasa ralat kerana dalam kereta saya pun masih ada lagi barang-barang peninggalan arwah," ujarnya yang dipanggil 'Pok Su' oleh mangsa.
Menurut Mohd Tarmizi, seorang lagi cucu saudaranya, Nur Raesha Amanda kini dijadualkan menjalani pembedahan di Hospital Kemaman akibat patah tulang, manakala seorang lagi dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini.
Jenazah tiga beranak tersebut dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tong, Setiu pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan SUV jenis Perodua Aruz yang dipandu Nurul Hafizah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh tiang elektrik serta paip air ketika dalam perjalanan dari Jerangau ke Ajil.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


