
SERDANG: Atlet lompat tinggi Johor, Nur Sabrina Najwa Efrudin hampir mencipta rekod baharu Sukan Malaysia (SUKMA) selepas hanya dipisahkan 0.04 meter (m) daripada catatan milik Nurliyana Kamaruddin yang dilakukan pada edisi 2010.
Bagaimanapun, selepas tiga kali melakukan percubaan, Nur Sabrina terpaksa berpuas hati dengan pingat emas menerusi lompatan setinggi 1.72m.
Pingat perak menjadi milik wakil Sabah, Ku Yee Aleng yang mencatatkan 1.66m manakala Chloe Then Shiang Yee melengkapkan podium dengan lompatan 1.62m dalam pertandingan yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Nur Safrina yang sebelum ini sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh pada edisi lalu.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut hadir selepas atlet Johor itu bangkit daripada kecederaan yang menyaksikan dia berehat daripada menyertai kejohanan selama kira-kira tiga bulan.
Menurut Nur Sabrina, dia pada awalnya tidak begitu yakin mampu meraih emas kerana menyedari saingan yang dihadapinya cukup sengit.
“Saya tahu pesaing saya kuat tapi tadi ramai kawan-kawan, ibu bapa berikan sokongan membuatkan saya rasa macam saya boleh buat. Saya cakap dengan diri saya, ‘Saya boleh buat, saya boleh melepasi catatan peribadi terbaik,’” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pencapaian tersebut sekali gus memperbaiki catatan terbaik Safrina yang dilakukannya 1.63m pada Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, bagi acara lompat kijang wanita menyaksikan pingat emas menjadi milik Alia Batrisya Nasaruddin dari Kelantan dengan catatan 12.50m manakala perak milik Maritza Ferrer Anak Neil Armstrong dari Sarawak (11.92m) dan gangsa diraih Farah Syakira Azifsafarin (11.91m).

Bagi acara rejam lembing wanita pula dimenangi oleh Noor Aliya Alias dari Terengganu selepas melakukan rejaman 38.04m manakala tempat kedua dihuni oleh Marra Jane Delovevy Jairon dari Sabah (36.48m) dan gangsa milik Xuan Lim (36.35m) dari Johor. – UTUSAN
The post Nur Sabrina gapai emas, nyaris cipta rekod SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.





