KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan mengambil cuti sementara daripada menjalankan tugas berkenaan, sejurus selepas Kongres Nasional parti itu yang dijadual berlangsung minggu depan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Nurul Izzah sebelum ini memohon untuk melepaskan jawatan berkenaan sepenuhnya.
Bagaimanapun katanya, kepimpinan pusat parti memutuskan agar beliau diberikan cuti sementara daripada tugas tersebut.
“Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat turut bersetuju melantik Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi memangku dan menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden sehingga keputusan selanjutnya dibuat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, jawatan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN akan dipikul sepenuhnya oleh seorang lagi Naib Presiden parti, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas mengenai Kongres Nasional PKR 2026, beliau memaklumkan Nurul Izzah dijadual merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 14 Ogos ini.
“Pada masa sama, Majlis Pimpinan Pusat turut meluluskan kemasukan seramai 3,533 ahli baharu yang mendaftar secara dalam talian bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026,” katanya. - Getaran, 6 Ogos 2026





