
Nurul Izzah Mohon Undur Diri Sebagai Timbalan Presiden PKR, MPP Beri Cuti Sementara
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar telah diberi cuti sementara bermula selepas Kongres Nasional 2026 hingga ke satu tarikh yang akan diumumkan.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN pada Khamis.
Menurutnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
"MPP membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden.
"Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan dimumum," katanya dalam satu kenyataan media.
Ahli PKR Keluar Parti Kerana Kecewa Tidak Dapat Jawatan - Fuziah
PKR Teliti Tindakan Bon RM10 Juta Terhadap Rafizi, Nik Nazmi Susulan Lompat Parti - Fuziah
Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN pada 14 Ogos.
Fahmi turut memaklumkan bahawa MPP bersetuju jawatan Pengarah Pilihanraya KEADILAN digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain itu, MPP juga meluluskan 3,533 orang anggota baharu bagi tempoh 12 Julai sehingga Ogos, yang telah mendaftar secara dalam talian.
Dalam kenyataan itu, Fahmi turut menjelaskan bahawa MPP menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan.
"Parti menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus lumur sewaktu dua PRN itu serta merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang dua penggal yang lalu," katanya.




