Nurul Izzah Diberi Cuti Tanpa Tempoh, Ada Ruang Untuk Kembali Jalankan Tugas

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 3:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Nurul Izzah Diberi Cuti Tanpa Tempoh, Ada Ruang Untuk Kembali Jalankan Tugas

MELAKA - Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar diberi cuti tanpa tempoh tertentu, bagi membolehkan beliau meneruskan pengajian Doktor Falsafah (PhD). 

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pintu parti sentiasa terbuka sekiranya beliau bersedia kembali menjalankan tugas politiknya.

Menurut Fuziah, parti itu sengaja tidak menetapkan tempoh khusus bagi cuti berkenaan kerana memahami komitmen akademik Nurul Izzah, selain menghargai sumbangan yang telah diberikan beliau kepada parti.

“Setakat ini, kita tidak menetapkan tempoh masa untuk timbalan presiden mengambil cuti kerana beliau mahu meneruskan pengajian dan Insya-Allah, kita bersedia menyambut kepulangannya apabila beliau bersedia untuk kembali menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan Kongres Nasional PKR 2026 bagi Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), yang dirasmikan Nurul Izzah di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Fuziah berkata, Nurul Izzah terlebih dahulu akan menyelesaikan tanggungjawab berkaitan kongres parti sebelum memulakan cutinya minggu depan.

Antara tugas berkenaan termasuk merasmikan kongres AMK dan Wanita sebelum menghadiri Kongres Nasional PKR yang bermula esok hingga Ahad.

Sebelum ini, Nurul Izzah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR, namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menolak peletakan jawatan tersebut.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sebelum ini dipetik sebagai berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan permintaan Nurul Izzah untuk mendapatkan ruang bagi menguruskan urusan peribadi serta meneruskan pengajian PhD.

Dalam ucapan perasmian kongres AMK dan Wanita hari ini, Nurul Izzah turut menegaskan bahawa beliau kekal komited terhadap perjuangan reformasi, namun memilih untuk meneruskannya melalui wadah berbeza.

“Saya memilih untuk terus berjuang, bukan secara langsung dalam parti, tetapi melalui laluan masyarakat MADANI,” katanya.

Dalam ucapannya, Nurul Izzah turut memberi amaran bahawa PKR tidak akan mampu kekal sebagai kuasa politik yang kukuh sekiranya tenaga parti terus dibelenggu perpecahan dalaman dan kewujudan struktur kuasa yang bersaing.

Beliau mengingatkan agar tidak muncul kelompok atau puak tertentu yang akhirnya melemahkan parti dari dalam.

“Kita tidak boleh menjadi sebuah organisasi yang kuat jika wujud parti dalam parti, dua nakhoda mengemudi satu kapal, atau kewujudan tangan ghaib, struktur kuasa tersembunyi di sebalik struktur kuasa yang kelihatan,” katanya.

Menurutnya, PKR tidak boleh membiarkan pertikaian dalaman mengalih perhatian daripada misi politik lebih besar yang perlu diperjuangkan parti.

"Setiap jam yang dihabiskan untuk berkonflik sesama anggota parti sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi meraih sokongan rakyat dan memperkukuh kedudukan PKR," katanya.

Nurul Izzah berkata, tumpuan parti seharusnya diberikan kepada usaha mendemokrasikan ekonomi, bersaing untuk memberikan hasil yang lebih baik kepada rakyat serta memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Beliau mengakui, usaha mencapai matlamat tersebut bukan sesuatu yang mudah, namun menegaskan PKR perlu mengekalkan fokus dan disiplin sekiranya mahu terus relevan dalam landskap politik negara.

Kenyataan itu hadir ketika PKR melalui fasa perubahan dalaman susulan beberapa tokoh berprofil tinggi meninggalkan parti, termasuk bekas pemimpin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, wakil daripada 25 kedutaan asing telah mengesahkan kehadiran pada Kongres Nasional PKR yang bermula esok.

Sebanyak lima usul akan dibahaskan perwakilan, merangkumi ucapan dasar presiden serta empat usul yang dikemukakan MPP berkaitan ekonomi dan kestabilan politik, kesihatan, perpaduan nasional serta usaha memperkukuh parti.

“Ucapan dasar presiden dan empat usul daripada MPP akan dibahaskan oleh perwakilan dari 14 negeri. Tahun ini kita turut menambah empat lagi wakil daripada kategori veteran, Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan Borneo,” katanya.

Kongres itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Bill Kayong, dengan lima penerima dikenal pasti untuk menerima penghargaan tahunan berkenaan.

Fuziah berkata PKR turut akan memberi pengiktirafan kepada cabang yang mencatat jumlah pendaftaran keahlian tertinggi sepanjang tahun lalu, selain anugerah khas kepada cabang yang mencatat jumlah penubuhan cabang baharu tertinggi antara Mac hingga Julai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Kongres Nasional 2026, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, atas usaha menyelaras penganjuran serta perancangan kongres berkenaan.

Kongres Nasional PKR 2026 dijadualkan berakhir pada Ahad.

Penganjuran kongres kali ini berlangsung ketika PKR berdepan persoalan mengenai perpaduan dalaman, hala tuju kepimpinan serta peranan parti dalam Kerajaan MADANI. - Getaran, 14 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved