
MELAKA: Rakyat kini semakin menilai parti politik berdasarkan rekod dan hasil yang telah dilaksanakan, bukannya sekadar slogan atau janji.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) justeru itu perlu terus membuktikan kepercayaan yang diberikan rakyat melalui prestasi pentadbiran serta dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Rakyat sudah cukup melihat, mereka tidak lagi menilai sesiapa dengan slogan, mereka menilai dengan rekod,” katanya katanya dalam ucapan perasmian serentak Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Beliau berkata, masa depan PKR bergantung kepada kemampuan parti itu mengekalkan kepelbagaian pemikiran, kaum dan pendekatan, selain memastikan prinsip reformasi tidak berubah apabila parti memperoleh kuasa.
Dalam pada itu, Nurul Izzah mengingatkan bahawa kemenangan politik bukan sekadar memberikan kuasa, sebaliknya hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang jauh lebih besar.
Katanya, cabaran sebenar sesebuah parti ialah memastikan kuasa yang diperoleh digunakan untuk membawa perubahan dan bukan mempertahankan kepentingan kelompok tertentu.
“Kepimpinan bukan soal memiliki kuasa. Kepimpinan adalah soal memelihara amanah. Perbezaannya kelihatan kecil, tetapi daripada perbezaan kecil inilah lahirnya aliran politik yang sangat berbeza. Yang satu mempertahankan kerusi, yang satu lagi mempertahankan nilai,” katanya. – UTUSAN
The post Parti dinilai berdasarkan rekod bukan sekadar janji appeared first on Utusan Malaysia.





