Selangor Catat 36.4 Juta Pelawat, Kekal Destinasi Paling Ramai Dikunjungi Di Malaysia

LocalTravel
10 Aug 2026 • 2:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri paling ramai dikunjungi di Malaysia apabila merekodkan 36.4 juta pelawat domestik pada 2025, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian itu menyaksikan Selangor mengekalkan kedudukan sebagai negeri paling ramai dikunjungi di Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2021.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen berterusan pelbagai pihak dalam ekosistem pelancongan negeri.

“Dalam sektor pelancongan, Selangor terus mencipta sejarah dengan mengekalkan kedudukannya sebagai negeri paling ramai dikunjungi di Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2021.

“Pada tahun 2025, Selangor merekodkan 36.4 juta pelawat domestik, peningkatan sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan pelancong serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kekuatan fiskal negeri,” katanya.

Image from: Selangor Catat 36.4 Juta Pelawat, Kekal Destinasi Paling Ramai Dikunjungi Di Malaysia

Amirudin berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Pelancongan Negeri Selangor 2026 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada Sabtu.

Menurut beliau, kekuatan sektor pelancongan turut bergerak seiring dengan kedudukan Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

“Selangor juga kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan KDNK berjumlah RM460.1 bilion, mewakili 26.5 peratus daripada keseluruhan ekonomi Malaysia.

“Kejayaan ini mencerminkan kekuatan ekonomi negeri, keyakinan pelabur serta keberkesanan dasar pembangunan yang dilaksanakan secara mampan dan inklusif,” katanya.

Sasar 9 Juta Pelancong

Prestasi tersebut menjadi asas kepada pelaksanaan Tahun Melawat Selangor 2026, yang menyasarkan untuk menarik 9 juta pelancong serta menjadikan Selangor sebagai pintu masuk utama pelancongan serantau.

Bagi menyokong aspirasi berkenaan, pelbagai inisiatif promosi dan pemasaran strategik terus dipergiatkan menerusi kempen seperti Surprising Selangor, Selangor Kan Ada! dan Liburan Sehat Ya di Selangor Aja!.

Kempen berkenaan telah berjaya memperkukuhkan jenama Selangor di pasaran domestik dan antarabangsa, selain membuka ruang kerjasama yang lebih luas dengan rakan industri serantau dan global.

26 Kategori Anugerah Dipertandingkan

Sementara itu, Anugerah Pelancongan Negeri Selangor 2026 memperkenalkan sebanyak 26 kategori bagi mengiktiraf kecemerlangan pemain industri pelancongan negeri.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Best Integrated Resort & Theme Park Destination, International Tourism Partnership Award dan Selangor Cruise Tourism Excellence Award.

Amirudin berkata, pemilihan penerima anugerah dibuat berdasarkan pencapaian, impak serta sumbangan mereka kepada pembangunan industri pelancongan negeri.

Beliau turut mengakui kejayaan Selangor dalam sektor pelancongan dibina menerusi komitmen pelbagai pihak, daripada hotel, agensi pelancongan dan syarikat pengangkutan kepada penganjur acara, pengamal media, pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan negeri.

“Pengiktirafan ini adalah hasil dedikasi, kegigihan dan komitmen anda dalam memajukan industri pelancongan negeri. Kejayaan anda adalah kejayaan Selangor, dan sumbangan anda telah membantu memperkenalkan keunikan, budaya serta kekuatan ekonomi negeri ini kepada dunia,” katanya.

Image from: Selangor Catat 36.4 Juta Pelawat, Kekal Destinasi Paling Ramai Dikunjungi Di Malaysia

Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 1,000 pemain industri pelancongan, agensi kerajaan, media serta rakan strategik dari dalam dan luar negara.

Turut hadir ialah delegasi industri pelancongan dari Indonesia, termasuk ASITA (Association of the Indonesian Tours and Travel Agencies) dan ASTINDO (Asosiasi Travel Agent Indonesia), yang mencerminkan hubungan kerjasama pelancongan yang semakin erat antara Selangor dan Indonesia.

Penganjuran Anugerah Pelancongan Negeri Selangor 2026 dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dan Tourism Selangor untuk menghargai sumbangan pemain industri, memperkukuh budaya kecemerlangan serta memastikan Selangor terus menjadi destinasi pilihan utama di Malaysia dan rantau ASEAN. - Getaran, 10 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved