Sukma: Pasukan golf wanita Melaka mahu ulangi kejayaan 2018

11 Aug 2026 • 2:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sukma: Pasukan golf wanita Melaka mahu ulangi kejayaan 2018

MELAKA: Skuad golf wanita Melaka berpeluang cerah untuk mengulangi kejayaan dua pingat emas dan satu gangsa yang diraih pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, dengan pemain nombor satu negeri itu, Amelia Lee, berada pada tahap terbaik menjelang Sukma Selangor ke-22 bermula dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Presiden Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM), Shahrin Muharam, berkata, prestasi konsisten Amelia menjadi antara sandaran utama Melaka untuk memburu pingat terutama selepas pemain itu mencatat beberapa kejayaan membanggakan dalam kejohanan remaja tahun ini.

Katanya, Amelia muncul juara Batam International Junior Championship pada awal tahun ini, selain menjuarai kategori Junior Girls Champion pada Selangor Amateur Open dan RPGC Taiwan Fructose Junior, sekali gus membuktikan dia berada pada prestasi terbaik untuk menghadapi saingan Sukma.

“Amelia adalah antara sasaran utama kita berdasarkan prestasinya yang sentiasa konsisten. Dia berada pada tahap terbaik ketika ini dan beberapa kejayaan yang diraih tahun ini memberi keyakinan kepada kita.

“Dia kini bersaing di pusingan kelayakan bagi mengesahkan penyertaan Kejohanan LPGA Kejuaraan Maybank dari 29 Oktober hingga 1 November ini di Kuala Lumpur/

“Bagaimanapun, kita tidak mengetepikan pemain lain kerana mereka juga mempunyai kemampuan untuk memberikan cabaran. Dalam golf kerana konsistensi amat penting dan kita berharap semua pemain dapat memberikan permainan terbaik,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan senarai lapan pemain golf mewakili Melaka di Sukma Selangor hari ini.

Menurut Shahrin, pencapaian skuad wanita pada Sukma Perak 2018 menjadi motivasi kepada barisan pemain kali ini untuk mengulangi kejayaan berkenaan.

Beliau berkata, skuad lelaki Melaka juga berpeluang untuk mencipta sejarah dengan menamatkan penantian hampir empat dekad bagi menghadiahkan pingat pertama buat negeri itu dalam acara golf.

“Bagi skuad lelaki pula, kami mahu melihat mereka menamatkan penantian sejak Sukma pertama pada 1986 untuk mendapatkan pingat pertama tidak kisah apa warna sekali pun.

“Berdasarkan prestasi semasa, kami melihat ada peluang terutama untuk mendapatkan pingat perak atau gangsa. Namun, mereka perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat,” katanya.

Selain Amelia tujuh pemain yang terpilih mewakili Melaka terdiri daripada Muhammad Izzul Irfan Md Zaini, Declan Ooi Ean Yui, Anis Dylan Sinno, Muhammad Rafique Ilhami Mohd Rafizan, Amirah Nur Hanania Afanizam, Anis Sofea Hamlussalam dan Vikasni Laakshitaa Bala Subramaniam.-UTUSAN

The post Sukma: Pasukan golf wanita Melaka mahu ulangi kejayaan 2018 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved