
PORT DICKSON – Keadaan laut bergelora dengan ombak menghempas pesisir Pantai Teluk Kemang di sini ketika ribut semalam tular di media sosial, sekali gus mengundang perhatian orang ramai.
Rakaman video yang dikongsikan menerusi pelbagai platform media sosial itu memaparkan keadaan laut bergelora dengan ombak memutih menghempas kawasan pantai ketika cuaca buruk melanda destinasi peranginan berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapt. (PA) Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata, daerah ini menerima hujan berpanjangan dengan taburan sederhana sejak awal pagi hingga kira-kira pukul 11 pagi pada hari kejadian.
Menurutnya, keadaan angin dari pelbagai arah pada sebelah petang, selain trend kenaikan paras air laut, menyebabkan keadaan laut bergelora dan ombak tinggi di sepanjang pantai Port Dickson.
“Bacaan maksimum paras air laut direkodkan pada 2.6 meter pada pukul 6.48 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Beliau berkata, APM Port Dickson menerusi pasukan Penyelamat Pantai telah menjalankan pemantauan di Pantai Teluk Kemang dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi-manda ketika ribut berlaku.
Dalam pada itu, ujar beliau, peralihan Monsun Timur Laut dijangka bermula pada 27 Oktober ini hingga Mac 2027. – KOSMO! ONLINE
The post Ombak mengganas di Teluk Kemang appeared first on Kosmo Online.






![[VIDEO] Hujan di Shah Alam sangat lebat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-23-at-16.33.48-1024x565.jpeg)