Omesti rancang penyatuan 2.32 bilion saham terbitan bernilai RM238.1 juta kepada 464 juta saham

LocalBusiness & Finance
15 Sep 2026 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Omesti rancang penyatuan 2.32 bilion saham terbitan bernilai RM238.1 juta kepada 464 juta saham Image from: Omesti rancang penyatuan 2.32 bilion saham terbitan bernilai RM238.1 juta kepada 464 juta saham amree15/09/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 SeptOmesti Berhad merancang penyatuan 2.32 bilion saham terbitannya bernilai RM238.1 juta kepada 464.48 juta saham melalui nisbah lima saham sedia ada kepada satu saham baharu.

 

Langkah itu dijangka mengubah harga teori saham syarikat daripada 8 sen kepada 40 sen sesaham berdasarkan harga penutup pada tarikh praktikal terkini (LPD), tanpa menjejaskan nilai pegangan.

 

Menurut pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 15 September 2026, usul itu antara sebahagian penyusunan semula korporat yang turut meliputi pertukaran nama rasmi syarikat kepada Tegra Berhad.

 

"Penyatuan saham dicadangkan bagi menyediakan struktur harga lebih sesuai serta mengurangkan kesan pergerakan minimum harga terhadap turun naik harga saham," maklum Omesti kepada Bursa Malaysia.

 

Ujarnya, pada harga 8 sen, pergerakan minimum harga sebanyak 0.5 sen mewakili 6.25% daripada harga saham, manakala pada harga teori 40 sen selepas penyatuan, pergerakan sama hanya bersamaan 1.25%.

 

Di bawah senario maksimum, sekiranya kesemua 131.76 juta Waran D dilaksanakan sepenuhnya, jumlah kira-kira 2.45 bilion saham terbitan kumpulan tersebut akan disatukan kepada 490.84 juta saham.

 

Omesti_DagangNews2026

 

Usaha itu namun tidak mengubah nilai keseluruhan pegangan pemegang saham Omesti, sebaliknya hanya mengurangkan bilangan saham dalam edaran, sekali gus meningkatkan harga seunit secara berkadar.

 

"Kumpulan turut mencadangkan pertukaran nama kepada Tegra Berhad sebagai sebahagian daripada usaha penjenamaan semula bagi mencerminkan identiti korporat syarikat yang dikemas kini," katanya.

 

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sudah meluluskan penggunaan nama tersebut pada 18 Ogos 2026, manakala pertukaran hanya akan berkuat kuasa selepas Notis Pendaftaran Nama Baharu dikeluarkan.

 

Cadangan penyatuan saham juga sudah menerima kelulusan Bursa Malaysia menerusi surat bertarikh 3 September 2026, dengan Kenanga Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama Omesti.

 

Bagaimanapun ia akan mendapatkan kelulusan pemegang saham menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 8 Oktober 2026, dengan keseluruhan proses dijangka selesai suku keempat 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved