OnePlus telah pun melancarkan sistem operasi baharu mereka iaitu OxygenOS 15. OxygenOS 15 memfokuskan kepada integrasi AI dengan kepantasan prestasi peranti. OnePlus turut mendakwa yang ciri Parallel Processing boleh menjadikan peralihan animasi dalam peranti lebih lancar untuk tatalan dan membuka/menutup aplikasi.
Mengikut langkah Apple dengan iOS 18.1, beberapa animasi seakan seruan Siri baharu turut diperlihatkan seperti ketika pengecasan dan pemasangan aplikasi. Rekaan kunci skrin juga kini mirip iPhone dengan gambar boleh mempunyai kesan kedalaman untuk widget diletakkan di belakang imej latar. OnePlus turut mengambil kod AOSP untuk ciri multi-tugasan, di mana peranti lebih mudah menggunakan banyak aplikasi serentak dengan antaramuka adaptif mengikut saiz skrin peranti.

Bagi yang menggunakan iPhone, OxygenOS 15 kini mempunyai ciri perkongsian secara terus iaitu Share with iPhone. Ia menggunakan sistem O+ Connect oleh Oppo. Ciri Oppo lain yang dipinjam adalah kemampuan membuang kesan pantulan cermin dalam gambar menggunakan AI. Beberapa ciri AI lain untuk gambar turut diberikan seperti AI Detail Boost dan AI Unblur. OnePlus Notes turut menerima integrasi AI generatif dan juga Intelligent Search seakan Siri dan Google Gemini yang boleh mengawal tetapan peranti serta carian mendalam untuk kandungan dan ciri lain dalam peranti.

Ciri AI lain adalah AI Reply yang boleh digunakan melalui bar sisi, di mana ia boleh digunakan dalam mana-mana aplikasi pemesejan yang memahami konteks untuk membantu membalas mesej. Sudah semestinya Circle to Search turut disokong pada OxygenOS 15 ini. Buat masa ini OxygenOS 15 disokong pada OnePlus 12 dengan kemas kini akan diedarkan secara berperingkat bermula 30 Oktober.
