OnePlus Mula Mengacah Kehadiran Peranti Nord Baharu

TechnologyDigital
17 Mar 2026 • 2:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Ciapan terkini daripada OnePlus menunjukkan perancangan mereka untuk memperkenalkan peranti baharu tidak lama lagi. Dengan kapsyen “Entering the Nord era soon” bersama tanda pagar #OnePlusNord jelas bahawa peranti tersebut merupakan sebahagian daripada siri Nord.

image is not available

Buat masa ini, tiada nama rasmi diumumkan, namun besar kemungkinan ia adalah OnePlus Nord 6 memandangkan model terakhir yang dilancarkan tahun lalu ialah OnePlus Nord 5 CE. Fokus utama peranti baharu ini masih belum diperincikan tetapi berpotensi hadir dengan bateri bersaiz besar serta sistem pengecasan pantas.

Hal ini dapat ditafsirkan daripada imej yang dikongsi oleh OnePlus yang memperlihatkan bateri berwarna biru bersama kepala pengecas dan kabel. Petunjuk tersebut seolah-olah memberi bayangan bahawa aspek bateri dan pengecasan pantas akan menjadi antara ciri utama yang diketengahkan pada peranti baharu ini.

image is not available

Sebagai rujukan, peranti yang didakwa sebagai Nord 6 dengan nombor model CPH2795 pernah muncul di laman Geekbench. Senarai tersebut mendedahkan ia dikuasakan oleh cip Snapdragon 8s Gen 4 iaitu pemproses yang sama digunakan pada OnePlus Turbo 6 yang telah dilancarkan lebih awal di China.

image is not available

Memandangkan siri Nord kebiasaannya merupakan penjenamaan semula daripada model diperkenalkan di pasaran China besar kemungkinan Nord 6 berasaskan kepada OnePlus Turbo 6. Hal ini sekali gus menguatkan jangkaan bahawa Nord 6 akan menawarkan prestasi setanding dengan model Turbo namun hadir dengan penjenamaan khusus untuk pasaran global.