Op Crack: Sindiket ‘Flying Passport’ tumpas, tiga dicekup

7 Aug 2026 • 1:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Op Crack: Sindiket ‘Flying Passport’ tumpas, tiga dicekup

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket ‘Flying Passport’ selepas menahan tiga individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan mewujudkan rekod pergerakan palsu warga asing menerusi sistem imigresen negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 33 hingga 41 tahun itu ditahan dalam operasi khas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor pada pukul 10 pagi semalam.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor hasil perkembangan siasatan Op Crack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Turut disita telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen serta wang tunai berjumlah RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan mengumpulkan pasport milik warga asing tanpa memerlukan pemilik dokumen hadir secara fizikal di pintu masuk negara.

Katanya, salinan muka hadapan pasport kemudiannya dihantar oleh ejen sindiket menerusi aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol untuk diimbas bagi mewujudkan rekod pergerakan keluar masuk palsu dalam sistem JIM.

“Ejen mengenakan bayaran RM700 bagi setiap pasport warga asing yang menggunakan perkhidmatan sindiket ini,” ujarnya.

Zakaria berkata, kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen bagi tindakan lanjut.

“JIM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Op Crack: Sindiket ‘Flying Passport’ tumpas, tiga dicekup appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved