Siasatan Skandal Rasuah & Godam MyIMMs Makin Meluas, 5 Lagi Pegawai Imigresen Dicekup

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 2:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Siasatan Skandal Rasuah & Godam MyIMMs Makin Meluas, 5 Lagi Pegawai Imigresen Dicekup

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Crack, sebagai sebahagian daripada siasatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Penahanan terbaharu itu mencerminkan skop siasatan ke atas sindiket terbabit yang semakin meluas.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30-an hingga 40-an. 

Mereka ditahan kira-kira jam 1 tengah hari semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu rakaman percakapan.

Siasatan awal mendapati, pegawai terbabit disyaki bersekongkol dalam aktiviti penggodaman sistem MyIMMs selain membantu proses kelulusan permohonan PLKS tanpa mematuhi prosedur perundangan yang ditetapkan.

“Berdasarkan siasatan awal, kesemua pegawai ini dipercayai terbabit dalam kegiatan menggodam MyIMMs serta membantu mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur undang-undang yang sepatutnya.

“Susulan penahanan itu, SPRM turut merampas lima telefon bimbit milik kesemua suspek,” kata sumber berkenaan.

Sumber turut memaklumkan bahawa setakat ini, penyiasat telah merekodkan keterangan daripada 17 individu bagi membantu siasatan.

Dalam siasatan berkaitan aliran kewangan, SPRM turut membekukan sembilan akaun bank, termasuk empat milik individu dan dua akaun syarikat, dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM300,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM memohon perintah reman terhadap kesemua lima suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Perkembangan terbaharu itu menyusuli pengumuman Jabatan Imigresen Malaysia berkaitan pembatalan kesemua 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah susulan pencerobohan terhadap sistem MyIMMs.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata, pas yang diluluskan secara penipuan itu tidak menjana sebarang hasil kepada kerajaan dan pembatalannya akan dilaksanakan serta-merta.

Penahanan lima individu terbaharu itu menyusuli tindakan SPRM sebelum ini yang mendapatkan perintah reman terhadap 12 individu, termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen, berhubung dakwaan mereka berpakat menggodam sistem MyIMMs bagi mendapatkan kelulusan tidak sah untuk permohonan PLKS. - Getaran, 4 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved