
OpenAI sedia diperkatakan akan hadir dengan sejumlah peranti berasaskan kecerdasan buatan, dan laporan terbaru mengatakan OpenAI sedang dalam fasa bekerjasama dengan pihak MediaTek dan Qualcomm untuk membangunkan cip untuk telefon pintar. Cip ini dijangka akan menguasakan telefon pintar pertama yang bakal dikeluarkan oleh OpenAI.
Menurut penganalisa popular Ming-Chi Kuo, OpenAI akan memfokuskan kepada integrasi ejen AI dalam menguruskan dan melaksanakan sejumlah tugasan berbeza – dan bukannya pada aplikasi seperti yang dilakukan Google dan Apple. Pembangunan telefon pintar sendiri turut dijangka akan membolehkan OpenAI bereksperimen dan membangunkan pelbagai perkara tanpa bergantung kepada pihak lain.
Telefon pintar berkenaan juga dijangka hadir dengan sokongan memahami pengguna, termasuk memahami pelbagai konteks penggunaan oleh seseorang. Namun, ia tidak diketahui adakah ramai akan selesa untuk berkongsi data dengan pihak OpenAI.
Mengikut laporan awal, OpenAI dijangka melakukan pengeluaran untuk telefon pintar ini menjelang 2028 kelak. Selain pihak OpenAI, Nothing juga telah menyatakan hasrat untuk memfokuskan kepada integrasi dan pengenalan peranti AI, sementara Google, Samsung dan Apple masing-masing lebih memfokuskan kepada integrasi sokongan AI melalui peranti mereka buat masa ini.
— 郭明錤|Ming-Chi Kuo (@mingchikuo) April 27, 2026





