hamden26/11/2026 - 12:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Pengembangan perkhidmatan parkir pintar menerusi operasi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ITMAX System Berhad, apabila sumbangan sulung projek itu menjadi pemacu utama kepada rekod keuntungan kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 (9M26).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, prestasi berkenaan turut memperlihatkan potensi perniagaan penyelesaian bandar pintar kumpulan untuk terus berkembang, terutama apabila sumbangan daripada projek Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) masih belum dimasukkan sepenuhnya dalam prestasi kewangan.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras ITMAX meningkat 29.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM88.5 juta bagi 9M26, sekali gus menepati unjuran mereka dan konsensus pasaran.
Pertumbuhan itu sebahagian besarnya disokong sumbangan awal operasi parkir pintar MBJB yang menambah sumber pendapatan kumpulan.
Potensi belum dimanfaatkan sepenuhnya
Bagaimanapun, potensi pertumbuhan perniagaan parkir pintar ITMAX masih belum dimanfaatkan sepenuhnya apabila kadar kutipan parkir purata gabungan kumpulan kini hanya 32.5%, berbanding sasaran jangka panjang sebanyak 70%.
HLIB melihat jurang berkenaan sebagai ruang untuk meningkatkan kecekapan kutipan dan memperkukuh sumbangan hasil daripada operasi sedia ada.
Selain itu, pelaksanaan projek DBKK dan PERKESO dijangka menyediakan sumber pertumbuhan tambahan apabila sumbangannya mula direalisasikan.
Berdasarkan perkembangan itu, HLIB menaikkan unjuran pendapatan ITMAX bagi tahun kewangan 2027 (FY27) dan FY28 masing-masing sebanyak 8.8% dan 10.6%, selepas mengambil kira sumbangan daripada kedua-dua projek berkenaan.
HLIB turut mengekalkan saranan BELI terhadap saham ITMAX, dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM6.27. - DagangNews.com






