Projek pusat data pacu keuntungan Southern Score Builders, buku tempahan cecah RM1.81 bilion – Apex Securities

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 10:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek pusat data pacu keuntungan Southern Score Builders, buku tempahan cecah RM1.81 bilion – Apex Securities Image from: Projek pusat data pacu keuntungan Southern Score Builders, buku tempahan cecah RM1.81 bilion – Apex Securities liza25/11/2026 - 10:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov – Apex Securities menjangkakan pertumbuhan Southern Score Builders Bhd terus disokong permintaan terhadap kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) pusat data serta buku tempahan bernilai RM1.81 bilion.

 

Keuntungan bersih teras pula diunjurkan meningkat kepada RM105.3 juta bagi tahun kewangan 2027 (FY27) dan RM114.4 juta bagi FY28.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek kumpulan kekal positif berikutan kedudukan buku tempahan yang bersamaan 3.4 kali hasil FY26, selain peluang memperoleh kontrak baharu daripada sektor pembinaan dan pusat data.

 

“Setakat 30 September 2026, buku tempahan belum dilaksanakan kumpulan berjumlah RM1.66 bilion sebelum meningkat kepada kira-kira RM1.81 bilion susulan kejayaan anak syarikat 51% miliknya, SJEE Engineering Sdn Bhd memperoleh dua subkontrak pusat data di Port Dickson bernilai RM146.8 juta pada November 2026,” kata firma itu dalam nota kajiannya. 

 

Bagi 1QFY27, Southern Score Builders mencatatkan keuntungan bersih teras RM32.8 juta, meningkat 185.1% berbanding RM11.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan turut melonjak 221.1% kepada RM269.5 juta berbanding RM83.9 juta, sekali gus menyaksikan keputusan suku tahunan itu mengatasi jangkaan Apex Securities apabila menyumbang 31% daripada unjuran keuntungan bersih teras FY27 firma berkenaan.

 

Peningkatan itu didorong terutamanya segmen M&E yang mencatatkan pertumbuhan hasil 477.2% kepada RM171.1 juta berbanding RM29.6 juta setahun sebelumnya, sekali gus menyumbang 63.5% daripada keseluruhan hasil kumpulan.

 

Segmen pembinaan turut merekodkan peningkatan hasil 101.3% kepada RM75.3 juta, manakala perkhidmatan pembinaan utama meningkat 7% kepada RM17.9 juta.

 

Bagaimanapun, Apex Securities berpandangan sebahagian daripada prestasi lebih baik itu turut dipengaruhi tuntutan bayaran kemajuan dan pensijilan projek yang tertangguh daripada suku keempat FY26.

 

Kontrak baharu dan peluang bidaan sokong prospek

Dari segi pecahan buku tempahan, segmen pembinaan menyumbang RM1.14 bilion, diikuti M&E sebanyak RM482.6 juta dan perundingan kejuruteraan khusus sebanyak RM37.7 juta setakat 30 September 2026.

 

Kumpulan memperoleh kontrak baharu bernilai kira-kira RM471.5 juta sepanjang 1QFY27, termasuk projek hospital di Melaka bernilai RM180 juta serta kerja M&E pusat data.

 

Setakat 12 November 2026, jumlah kontrak baharu yang diperoleh bagi FY27 mencecah RM618.3 juta, manakala nilai buku bidaan kumpulan berjumlah kira-kira RM1.55 bilion.

 

Apex Securities turut mengunjurkan penambahan kontrak baharu sebanyak RM750 juta bagi FY27, RM500 juta bagi FY28 dan RM600 juta bagi FY29.

 

Selain itu, pengembangan perkhidmatan kejuruteraan bernilai lebih tinggi melalui SJEE Engineering dan Nova Pharma Solutions Bhd (NPS) dijangka menyediakan peluang tambahan kepada kumpulan, khususnya dalam sektor pusat data, farmaseutikal dan bioteknologi.

 

Harga sasaran dinaikkan kepada 88 sen

Walaupun keputusan 1QFY27 mengatasi jangkaan, Apex Securities mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras FY27 dan FY28 masing-masing pada RM105.3 juta dan RM114.4 juta.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menyemak turun unjuran keuntungan bersih teras FY29 sebanyak 18.2% kepada RM125.1 juta daripada RM153 juta selepas membetulkan pengiraan kepentingan bukan kawalan dalam model kewangannya.

 

Apex Securities mengekalkan saranan BELI terhadap Southern Score Builders, tetapi menaikkan harga sasaran kepada 88 sen daripada 81 sen sesaham, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 17.6 kali ke atas unjuran keuntungan sesaham FY28 sebanyak lima sen. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved