Pembenihan awan di Sarawak, utara Semenanjung bermula 3 Sept.

LocalEnvironment
30 Aug 2026 • 5:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pembenihan awan di Sarawak, utara Semenanjung bermula 3 Sept.

PUTATAN: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sarawak dan utara Semenanjung Malaysia akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 3 September ini bagi membantu menangani keadaan jerebu yang semakin memburuk.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, permohonan pelaksanaan operasi berkenaan sudah diluluskan, manakala persediaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang dijalankan.

“Permohonan operasi ini sudah diluluskan untuk dilaksanakan dari 3 hingga 5 September ini membabitkan kawasan Sarawak dan utara Semenanjung. Persediaan pesawat TUDM bagi operasi berkenaan sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia ke-44 di Hotel Platinum Putatan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, OPA akan memberi tumpuan kepada kawasan terjejas di selatan Sarawak selain lokasi yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya dan tidak sihat.

Katanya, pelaksanaan operasi bergantung kepada keadaan cuaca, termasuk tahap kelembapan dan kewujudan awan yang sesuai berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

“Jika cuaca terlalu kering, panas dan tiada awan, OPA tidak dapat dijalankan,” katanya.

Menurutnya, operasi selama tiga hari itu mempunyai dua sasaran utama iaitu menghasilkan hujan bagi membantu mengurangkan bacaan IPU serta membersihkan partikel asap di udara.

“OPA turut menyasarkan kawasan empangan air bagi meningkatkan paras air sekali gus membantu memelihara bekalan air bersih,” katanya.

Arthur berkata, kementeriannya meningkatkan pemantauan keadaan jerebu susulan peralihan negara daripada Monsun Barat Daya kepada fenomena Super El Nino yang menyebabkan taburan hujan berkurangan, peningkatan suhu, cuaca lebih kering dan pertambahan titik panas.

Katanya, jika sebelum ini laporan keadaan jerebu dikeluarkan dua kali sehari, kini pemantauan dibuat setiap jam dan laporan terkini akan dimaklumkan kepada umum beberapa kali sehari berdasarkan bacaan IPU.

Berdasarkan bacaan IPU di 68 stesen pemantauan seluruh negara pagi ini, sebanyak 50 stesen merekodkan bacaan sederhana, 13 stesen tidak sihat, dua stesen sangat tidak sihat dan dua stesen pada tahap berbahaya. Kuching merekodkan bacaan IPU 295, Sri Aman (214), Serian (374) dan Samarahan (300).

Sehubungan itu, Arthur berkata, kementerian turut mengeluarkan amaran dan nasihat pencegahan kepada orang ramai, termasuk memakai pelitup muka di kawasan terjejas, mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya serta mendapatkan rawatan sekiranya mengalami masalah pernafasan.

Katanya, Malaysia juga bersedia meningkatkan kekerapan OPA sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk, termasuk meneruskan kerjasama dengan Indonesia bagi membolehkan operasi pembenihan awan diperluaskan.

“Saya telah menyuarakan semula permohonan negara untuk berkongsi ruang udara bagi meluaskan operasi pembenihan awan. Pihak Indonesia telah membenarkan kita memasuki ruang udara mereka menerusi surat rasmi yang diterima baru-baru ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata, isu jerebu rentas sempadan turut dibawa ke peringkat ASEAN, termasuk menerusi mesyuarat di Indonesia baru-baru ini.

Katanya, METMalaysia turut membangunkan sistem Model Community Multiscale Air Quality (CMAQ) yang meningkatkan ketepatan ramalan jerebu merentas sempadan dan sudah dikongsi untuk kegunaan negara di rantau Asia.

“Kita memperkenalkan sistem CMAQ dan sistem itu diterima Urus Setia ASEAN sebagai antara sistem terbaik untuk perkongsian data serantau,” katanya.

Jelasnya, kerjasama operasi dan tindakan merentas sempadan perlu diperkasakan, termasuk menerusi penguatkuasaan undang-undang atau peraturan baharu ASEAN bagi menangani punca jerebu di peringkat akar umbi.

“Kita menyokong langkah tegas Indonesia dari sudut perundangan kerana perbuatan pembakaran bukan hanya memberi kesan kepada negara asal, malah merugikan seluruh rantau ASEAN,” katanya. – UTUSAN

The post Pembenihan awan di Sarawak, utara Semenanjung bermula 3 Sept. appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved