
JITRA – Kehilangan seorang wanita warga emas yang menghidap penyakit nyanyuk di Kodiang, dekat sini sejak Ahad lalu masih belum terjawab apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga hari ini.
Razaiyah Hassan, 74, yang turut menghidap darah tinggi dilaporkan hilang selepas didakwa keluar dari rumahnya di Jalan Changlun, Kodiang tanpa pengetahuan ahli keluarga.
Seorang penduduk kampung mendakwa melihat warga emas itu berjalan kaki menuju ke kebun getah di hujung kampung.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, operasi SAR disambung semula pada pukul 9 pagi tadi.
Katanya, operasi itu melibatkan 46 anggota JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung.
“Pencarian turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dengan menggunakan seekor anjing pengesan bagi mengesan mangsa. Operasi meliputi radius tertentu dari lokasi terakhir mangsa dilihat termasuk kawasan kebun, sepanjang Sungai Santap dan persekitaran berhampiran,” katanya hari ini.
Menurutnya, pasukan penyelamat turut melakukan rondaan menggunakan motosikal serta kenderaan pacuan empat roda bagi memperluas kawasan pencarian.
“Komander operasi bersama anggota penyelamat juga menjalankan pencarian di sepanjang Sungai Santap dalam usaha mengesan mangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa berusia 53 tahun yang memaklumkan kehilangan ibunya.
Katanya, seorang saksi melihat wanita itu menuju ke kebun getah di hujung kampung sebelum anak mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian.
Razaiyah berbadan kurus dengan tinggi kira-kira 140 sentimeter, berkulit cerah, berambut kerinting paras bahu serta beruban tanpa memakai sebarang perhiasan diri atau barang kemas.
Kali terakhir dia dilihat memakai kemeja-T kolar bulat berwarna merah jambu kosong, berkain batik berwarna coklat, tidak memakai tudung dan tidak berkasut. – KOSMO! ONLINE
The post Sudah tiga hari Razaiyah Hassan hilang di Kodiang appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] ‘Dah jumpa Yeyen Selipar, rupanya kena langgar’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-21-at-12.36.48-PM-1024x777.jpeg)



