Operasi SAR tamat, waris 54 rakyat Malaysia masih berharap

6 Oct 2026 • 2:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Operasi SAR tamat, waris 54 rakyat Malaysia masih berharap

SHAH ALAM, 6 OKT: Penghentian operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sungai Bhotekoshi dan Trishuli, Nepal tidak seharusnya menamatkan usaha mendapatkan kepastian mengenai nasib 54 rakyat Malaysia yang masih hilang.

Jurucakap Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata pihaknya menghormati keputusan Nepal, namun keluarga mangsa masih menunggu jawapan mengenai nasib insan tersayang, lapor Berita Harian.

“Perubahan fasa operasi daripada SAR kepada pemulihan perlu disusuli usaha berterusan bagi mendapatkan jawapan yang diperlukan keluarga.

“Kami memahami keputusan Nepal dibuat berdasarkan keadaan di lapangan, faktor keselamatan, akses dan syor pihak berkuasa berkaitan. MASFIH menghormati keputusan serta bidang kuasa Nepal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nepal menghentikan fasa SAR selepas 40 hari bencana berlaku apabila peluang menemukan mangsa semakin tipis.

Keputusan itu dibuat berdasarkan syor beberapa badan keselamatan dan pengurusan bencana negara berkenaan serta hasil pemeriksaan di lapangan.

Dalam tragedi itu, seramai 1,455 orang disahkan maut manakala 5,285 lagi masih hilang setakat 3 Oktober.

Manivannan berkata keputusan menghentikan operasi SAR sukar diterima sebahagian keluarga mangsa yang masih berharap ahli keluarga mereka ditemukan.

“Mereka sukar menerima berita ini. Bagi keluarga, harapan untuk melihat insan tersayang pulang masih ada.

“Ada yang melihat telefon setiap hari, menanti satu panggilan atau mesej yang mungkin membawa berita mengenai ahli keluarga mereka,” katanya.

Manivannan sendiri masih menantikan kepulangan adiknya, Komathi Rethinam, yang belum ditemukan.

Dalam perkembangan sama, MASFIH memohon supaya 20 lagi sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kumpulan 23 rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan bersama diserahkan kepada pihak berkuasa China untuk tujuan padanan sekiranya tiada halangan prosedur.

Tiga sampel daripada kumpulan itu telah diserahkan sebelum ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved