Orang muda jangan sebar fitnah, elak 'perang' sesama sendiri - Saarani

LocalPolitics
15 Mar 2026 • 10:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saarani (duduk, kiri) bersama Muhammad Akmal (duduk, tengah) dan Zamakhshari (duduk, kanan) ketika Majlis Berbuka Puasa Anak Muda bersama Menteri Besar Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada Ahad.

IPOH – Orang ramai khususnya golongan muda diingatkan supaya tidak menyebarkan fitnah atau maklumat tidak sahih di media sosial kerana tindakan itu boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, rakyat di negara ini seharusnya bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman dan damai berbanding sebahagian negara lain yang sedang dilanda peperangan.

Menurutnya, keamanan yang dinikmati ketika ini perlu dipelihara bersama dan tidak harus digugat dengan sikap saling bermusuhan sesama sendiri.

"Bayangkan umat Islam di negara yang sedang dilanda peperangan seperti Iran atau Palestin. Mereka berbuka puasa dalam keadaan takut dan bimbang kerana negara mereka dilanda perang.

“Malaysia ini tidak ada siapa nak perang dengan kita dan kita jangan perang sesama sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Anak Muda bersama Menteri Besar Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak berkata, keamanan sesebuah negara amat penting kerana kemewahan atau kekayaan tidak bermakna sekiranya negara berada dalam keadaan perang.

Menurutnya, Malaysia tidak berdepan ancaman peperangan dengan mana-mana negara justeru rakyat perlu mengelak daripada ‘berperang’ sesama sendiri.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan telefon pintar kerana penyebaran maklumat tidak benar boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.

"Dalam telefon kita ada ‘peluru’ dan ada ‘racun’. Kalau buka WhatsApp, pastikan kandungannya betul. Jangan sebar fitnah, jangan sambung fitnah dan jangan buat fitnah.

"Jika maklumat itu tidak sahih, jangan terus ‘forward’. Periksa dahulu supaya kita tidak menjadi penyumbang kepada penyebaran perkara tidak benar," katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda di negeri ini supaya menjadi ejen pendamai dan menyebarkan mesej kasih sayang dalam masyarakat.